Budak Parah Rumah Dihempap Pokok Durian Di Pulau Pangkor


KANAK-KANAK perempuan 11 tahun parah selepas rumahnya ditimpa pokok durian yang tumbang di Teluk Kechil, Pulau Pangkor, awal pagi, semalam.

Dalam kejadian 2.50 pagi itu, paha kanan mangsa tertusuk dahan pokok selain mengalami pendarahan hati.

Ibu mangsa Nisha Yahya, 39, berkata ketika kejadian dia dan suami sedang tidur dalam bilik, manakala dua anak perempuannya tidur di ruang tamu apabila mereka dikejutkan dengan dentuman di bumbung rumahnya.

Menurutnya, seorang lagi anak perempuannya berusia 15 tahun tiada di rumah kerana mengikuti program di sekolah.

“Ketika itu anak saya tidur bersama kakaknya berusia 18 tahun di ruang tamu dan akibat kejadian, anak perempuan berusia 11 tahun cedera manakala kakaknya benjol kepala dan bengkak kaki," katanya.

Menurutnya, anaknya dibawa ke Hospital Desa Pulau Pangkor oleh jiran sebelum dipindahkan ke Hospital Seri Manjung dan dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor Suhaimi Nijar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.56 pagi dan tujuh anggota bergegas ke lokasi bersama sebuah jentera serta pasukan perubatan kecemasan (EMRS).

Menurutnya, setiba di lokasi pihaknya mendapati empat mangsa sudah tiada kerana dibawa ke hospital oleh orang awam.

"Pokok durian tua setinggi sembilan meter di belakang rumah mangsa tumbang menghempap menyebabkan kerosakan hampir keseluruhan rumah.

“Kami mengambil masa hampir tiga jam untuk memotong dahan pokok yang tumbang dan selepas mendapati keadaan selamat operasi ditamatkan pada 6.40 pagi," katanya.

Katanya, ketika kejadian cuaca baik tanpa hujan atau angin dan pokok terbabit dipercayai sudah tua dan reput.

Sumber: MyMetro