BUKIT Aman sudah mengeluarkan arahan pertukaran baru terhadap pegawai dan anggota yang terbabit dengan penularan klip video yang mendakwa mereka sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Muar, Johor.
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, arahan pertukaran baru itu dilaksanakan serta merta dan membabitkan semua tujuh pegawai dan anggota yang terbabit termasuk seorang koperal turut dilucutkan daripada jawatan detektif.
"Siasatan tata tertib sudah dijalankan dan dirumuskan serta tindakan juga akan diambil dalam masa terdekat.
"Mereka ini sudah diarahkan tukar ke lokasi dan formasi lain di seluruh negara oleh Bukit Aman," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.
Beliau berkata, Polis Johor dan Bukit Aman memandang serius integriti setiap pegawai dan anggota yang menjadi aset bernilai dalam mentadbir urus peranan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sebelum ini, berhubung penularan klip video pada 8 Oktober itu, polis Johor sudah menghantar laporan kepada Bukit Aman bagi tindakan susulan serta tata tertib berhubung tujuh pegawai dan anggota yang dikaitkan dengan klip video berkenaan.
Semua mereka termasuk seorang pegawai itu terdahulu ditukarkan segera ke IPK Johor sementara siasatan dijalankan dan mereka melaporkan diri pada 9 Oktober lalu.
Sumber: MyMetro