Bunuh Pencuci Sambilan: Suspek Positif Dadah, Ada Rekod Rawatan Psikiatri


LELAKI yang dipercayai membunuh pencuci rumah sambilan di sebuah rumah di Kampung Tersusun Tasik, Bercham, Ipoh semalam, direman tujuh hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, Mahkamah Majistret Ipoh membenarkan suspek berusia 34 tahun itu direman hingga 16 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Polis sudah menjalankan ujian saringan awal air kencing terhadap suspek dan hasilnya lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.

"Bagaimanapun suspek turut mempunyai rekod rawatan psikiatri di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dan polis akan siasat dari semua aspek bagi melengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada pihak pendakwaan bagi tindakan lanjut," katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Balai Polis Pasir Puteh, Ipoh, hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan seorang wanita pencuci rumah sambilan warga Indonesia berusia 40-an maut dibunuh anak kepada tuan rumah ketika mangsa sedang membersihkan rumah.

Suspek berusia 34 tahun datang sendiri ke Balai Polis Bercham 3.30 petang dan memberitahu membunuh seorang wanita yang datang untuk mencuci rumah.

Pemeriksaan polis di lokasi kejadian menemui mayat wanita berkenaan dalam keadaan terlentang lengkap berpakaian antara ruang tamu dan dapur rumah berkenaan.

Mangsa cedera di muka, belakang badan dan tiga jarinya putus dipercayai ditetak dengan parang.

Sumber: MyMetro