Buta Tak Halang Anak Kecil Di Pendang Ini Hafal Surah


PENDANG - Kemampuannya menghafal beberapa surah di dalam al-Quran membolehkan seorang kanak-kanak kurang upaya (OKU) sejak lahir menerima Anugerah Tunas Jaya Gemilang Kategori OKU Terbuka sempena sambutan Hari Kanak-Kanak di Pendang, baru-baru ini.

Muhammad Afiq Haikal Norazizi, 10, yang cacat penglihatan berkata, dia mula mempelajari al-Quran ketika berusia empat tahun dengan bantuan ibunya.

"Walaupun saya tak boleh tengok tapi saya nak diri saya dekat dengan al-Quran.

"Saya mula belajar al-Quran melalui cakera padat (CD) yang dibeli ibu," katanya.

Ibunya, Nor Nadia Mohamad Ghazali, 37, yang juga ibu tunggal berkata, dia akan berusaha sehabis baik bagi memberikan didikan buat anak tunggalnya itu.

"Sejak kecil saya diajar dengar ayat suci al-Quran. Bermula dari situ saya boleh hafal surah demi surah," katanya.

Menurutnya, dia dapat melihat anaknya gembira apabila diberi pendedahan sebegitu.

"Saya tengok dia seronok bila dapat hafal satu-satu surah. Dia juga suka dengar ceramah agama di televisyen.

"Kalau ada rancangan agama, memang dia tak berganjak dari depan TV," katanya.

Tambahnya, paling lucu apabila anaknya itu mampu mengajuk cakap penceramah seperti Ustaz Kazim Elias.

"Saya juga terkejut bila dia dapat tahu jadual waktu program keagamaan yang diminatinya walaupun tak boleh melihat," katanya.

Pernah masuk Qari Junior

Nor Nadia juga pernah menghantar Muhammad Afiq memasuki pertandingan Qari Junior pada musim kelima yang lalu.

Meskipun tidak beroleh kemenangan, namun anaknya itu tidak pernah menunjukkan sebarang reaksi kecewa.

Muhammad Afiq yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Sungai Petani tidak banyak meragam seperti kanak-kanak normal lain.

Katanya, sejak melahirkan Muhammad Afiq hingga kini dia senang untuk dijaga meskipun tiada insan bergelar bapa di sisinya.

"Waktu nak lahirkannya, doktor cakap peratusannya untuk hidup 50-50. Doktor juga cakap kalau dia selamat lahir pun, bahagian mata dan otak mungkin akan terkesan.

"Saya reda dengan apa yang ALLAH anugerahkan pada saya dan akan jaga amanah ini dengan baik," katanya.

Ngaji dengan imam masjid

Menurut Nor Nadia, sejak kecil lagi dia menghantar anaknya belajar mengaji bersama seorang imam masjid.

"Kebetulan ustaz itu dulu diajar mengaji oleh tok gurunya yang juga cacat penglihatan. Jadi dia tahu macam mana nak ajar anak saya.

"Cuma selepas itu, bapa saya sendiri yang teruskan pengajaran dengan al-Quran digital. Susah sebenarnya nak cari guru mengaji yang boleh ajar kanak-kanak istimewa," katanya.

Malah katanya, anaknya itu juga merupakan johan hafazan tiga tahun berturut-turut bagi Majlis Tilawah Al Quran pendidikan Khas peringkat Kedah.

“Pada 2015, dia muncul naib juara kategori hafazan dalam program Tilawah Al Quran kategori OKU di Sabak Bernam.

“Mei 2016 pula, dia dapat tempat ketiga dalam pertandingan hafazan yang diadakan di Melaka. Sebelum itu pada Februari tahun sama, Afiq diumumkan sebagai 10 peserta terbaik dalam pertandingan hafazan Cilik Little Huffaz Zon Utara,” katanya.

Tambah Nor Nadia, dia berharap Muhammad Afiq akan membesar menjadi anak yang baik dan memberi manfaat kepada agama dan negara.

Sumber: Sinar Harian