KETUA Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap jadi pilihan terbaik untuk menjadi perdana menteri jika Pakatan Harapan mampu membentuk kerajaan baharu berbanding Pengerusi Pakatan Harapan dan PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Hasil kaji selidik melalui atas talian yang dijalankan Oriental Daily baru-baru ini mendapati Dr. Mahathir hanya mendapat undi 8.75 peratus berbanding Anwar (Ketua Umum Pakatan Harapan) yang menerima 38.98 peratus.
Presiden PKR dan Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pula hanya memperolehi 6.26 peratus dan paling sedikit, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin 1.50 peratus.
Bagaimanapun Ketua Menteri Pulau Pulau Pinang, Lim Guan Eng ' berpotensi' menjadi Perdana Menteri kerana menduduki tangga kedua iaitu menrima 19.74 peratus undi selepas Anwar.
Ini bermakna jika Anwar tidak layak mejawat jawatan itu kerana kedudukannya yang masih di dalam penjara, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP walaupun jawatannya belum diiktiraf, berpeluang diangkat sebagai Perdana Menteri.
Bagaimanapun survey itu hanya undian atas talian yang dilakukan oleh sebuah akhbar Cina yang tentunya mendapat sokongan masyarakat Cina.
Laporan itu yang dipetik oleh Sinar Harian berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masing-masing peroleh 3.81 peratus dan 0.74 peratus.
Dalam pada itu, ketika ramai pemerhati politik menjangkakan Pakatan Harapan akan mengalami kekalahan teruk akibat krisis dalaman yang masih berlarutan dalam pakatan pembangkang itu, undian akhbar Cina itu menunjukkan 84.15 peratus pembaca akhbar ini mengharapkan Pakatan Harapan boleh bentuk kerajaan baharu.
Dalam perkembangan lain media berbahasa Cina Sin Chew Daily berkata kegagalan himpunan Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi anjuran Pakatan Harapan Sabtu lalu adalah disebabkan ketiadaan ahli PAS dan sokongan pengundi Melayu.
Menurut Ketua Pemuda MCA, Datuk Cheong Sin Woon, biarpun perhimpunan itu dihadiri semua pemimpin utama daripada pakatan pembangkang itu, namun ia masih gagal menarik orang ramai untuk menghadiri perhimpunan yang diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya itu.
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, jumlah hadirin yang kecil dalam perhimpunan ini jelas membuktikan kegagalan parti-parti pembangkang hanya pandai bermain politik semata-mata.
"Kita dapat lihat dalam perhimpunan ini, ramai penyokong PPBM tidak datang, begitu juga dengan penyokong-penyokong daripada parti-parti pembangkang yang lain," katanya.
Sumber : Sinar Harian