Cari Bazar Untuk Deepavali?


DEEPAVALI hanya tinggal dua minggu lagi dan semakin banyak bazar dibuka bagi memeriahkan lagi perayaan tersebut.

Walaupun terdapat beberapa lokasi baharu yang menawarkan bazar Deepavali di sekitar Lembah Klang, pengguna masih boleh berbelanja di kawasan tumpuan seperti Brickfields dan Lorong Tuanku Abdul Rahman di tengah ibu kota Kuala Lumpur.

The Star menyenaraikan beberapa pilihan buat warga kota untuk membeli belah pakaian dan barangan perhiasan di Kuala Lumpur dan Selangor.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan sebanyak 235 tapak perniagaan bagi bazar Deepavali tahun ini.

Terdapat 110 tapak di sepanjang Lorong Tuanku Abdul Rahman dan 125 lagi tapak di Jalan Masjid India.

Jurucakap DBKL berkata, terdapat penurunan dalam jumlah tapak berbanding 350 tapak tahun lalu kerana beberapa kawasan telah digunakan untuk projek River od Life.

Bazar tersebut berlangsung sejak 18 September lalu akan berakhir pada 17 Oktober ini.

Sebanyak 49 gerai jualan akan dibuka di tiga kawaan sekitar Petaling Jaya bermula sekarang hingga 17 Oktober nanti sempena sambutan Deepavali.


Antara lokasi tersebut adalah Jalan SS9A/13 Sungai Way (11 gerai), Jalan Othman (18 gerai) dan PJU 10/3 serta Damansara Damai (20 gerai).

"Kami menerima sambutan memberansangkan untuk bazar Deepavali tahun ini, terutama di Sungai Way dan Jalan Othman," kata Pembantu Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Abdul Karim Khiruddin.

Seperti di Kuala Lumpur, saiz bazar Deepavali di Rawang juga sudah dikecilkan.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sudah menyediakan tapak perniagaan di Jalan BCH1/1, Bandar Country Homes, Rawang.

Bazar Deepavali sebelum ini diadakan di kawasan bandar namun 75 peratus daripada pemilik kedai di sepanjang Jalan Welman dan Jalan Maxwell tidak bersetuju ia diadakan di situ kerana menyebabkan kesesakan trafik dan membahayakan keselamatan orang awam.

Terdapat dua gerai di lokasi yang diberikan yang mana para peniaga sudah pun beroperasi sejak 1 Oktober bermula pukul 6 petang ke atas.

Sumber: Mstar Online