Cendawan Ubati Kemurungan


LONDON - Sekumpulan penyelidik di Kolej Imperial London mendapati bahan 'hallucinogen’ dalam cendawan (magic mushroom) boleh ‘membetulkan se­mula' otak manusia yang berdepan dengan masalah kemurungan yang sukar dirawat.

Penyelidik berkenaan telah menjalankan kajian terhadap 19 pesakit dengan memberi satu dos bahan 'psychedelic’ iaitu 'psilocybin’.

Kajian menunjukkan separuh daripada pesakit didapati hilang masalah kemurungan manakala aktiviti otak masing-masing mengalami perubahan dan mampu bertahan sehingga lima minggu.

Ketua Penyelidik Dr. Robin Carhart-Harris, bagaimanapun menegaskan, orang ramai tidak boleh mengambil bahan tersebut tanpa pengawasan doktor.

Banyak kajian yang mendapati 'psilocybin’ mungkin berperanan mengatasi kemurungan dengan bertindak sebagai ‘pelincir minda’ sehingga membolehkan seseorang itu keluar daripada simptom kemurungan.

Kesan tepat bahan berkenaan terhadap aktiviti otak masih belum diketahui.

Berdasarkan kajian itu, kumpulan penyelidik berkenaan mendapati bahan 'psilocybin’ mempengaruhi dua bahagian utama otak iaitu 'amygdala’ dan jaringan otak.

Melalui pengambilannya, 'amygdala’ yang banyak melibatkan cara manusia mengendali emosi seperti ketakutan dan kemarahan, menjadi kurang aktif manakala jaringan otak akan lebih stabil.

Dr. Harris memberitahu portal BBC, pesakit yang menjalani ujian itu memberitahu mereka seperti 'telah diperbetulkan semula, dilahirkan semula atau dihidupkan semula' manakala seorang pesakit memberitahu bahawa otaknya seperti telah 'dicuci’.

Walau bagaimanapun kajian tersebut perlu diperluaskan sebelum bahan 'psylocybin’ boleh diterima sebagai rawatan kemurungan.

Sumber: Utusan Online