Che Ta Tak Hamil – Pengurus


ALOR SETAR - Pemilik syarikat pengurusan Laugh Out Loud (LOL) Entertainment Afeeq Abd. Wahab, menafikan dakwaan bahawa artis naungannya Rozita Che Wan kini sedang mengandung dua bulan.

Afeeq berkata, perbualan antara  Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta dengan rakannya, pereka fesyen Annas Easkay di laman sosial semalam yang mengatakan Che Ta bakal menimang cahaya mata keempat hanyalah satu gurauan.

“Tidak benar Che Ta mengandung dua bulan, dia dan Annas hanya bergurau sahaja.

“Sebenarnya mereka bercakap mengenai produk  kesihatan Jus Goyang yang dipromosikan Che Ta,” katanya yang dipetik dari Utusan Online.

Dakwaan yang mengatakan selebriti kelahiran jelapang padi ini hamil tular di laman sosial semalam dan rata-rata peminat mula mengucapkan tahniah kepada dirinya.


Isteri kepada Zain Saidin ini disangka hamil selepas tersebar foto yang dirakam pada sesi fotografi koleksi pengantin Minaz menampakkan seolah-olah beliau mengandung.

Menurut Che Ta, dia sedar ramai peminat mahu beliau menimang cahaya mata lagi dan menjelaskan bahawa badannya yang agak berisi sekarang membuatkan peminat salah faham.

"Mana ada saya mengandung, semua itu usikan. Saya belum bersedia nak hamil lagi. Semalam saya ada fotografi baju koleksi pengantin Minaz, mungkin kerana badan saya sedikit naik, ada yang mula menyangka saya hamil.

"Kalau betul saya hamil, kenapa saya nak selindungkan benda yang baik. Kalau ya, sayalah yang teruja nak kongsi semua ini. Tapi selama ini doa mereka yang mahu lihat saya hamil, selalu saya aminkan,"ujarnya.

Terdahulu, menerusi perkahwinan pertama, Che Ta dikurniakan dua orang anak lelaki Ammar Effendy, 21,  Aniq Ezzra, 19.  

Sementara menerusi perkahwinan kedua dengan Zain pada Disember 2013 pula dikurniakan seorang anak perempuan  Aaisyah Dhia Rana yang kini berusia 3 tahun.- Kedahnews.com