Cuaca Panas, Peniaga Air Kelapa Dan Tebu Di Baling Raih Untung


ALOR SETAR - Walaupun dilanda dugaan namun ada hikmah disebaliknya, peniaga minuman air tebu dan kelapa meraih keuntungan mendadak tempias daripada Taufan Lan yang membadai timur Filipina Selasa lalu.

Kesan daripada taufan tersebut, suhu di kawasan semenanjung mencecah kepada 33 darjah celcius ketika ini.

Peniaga air tebu, Mehad Ahmad,66, dari Padang Kulim, Baling mendedahkan bahawa pendapatannya meningkat sebanyak dua kali ganda sejak cuaca panas bermula seminggu yang lalu.

"Alhamdulillah pendapatan dapat lebih la sedikit daripada biasa. Waktu cuaca panas ni ramai yang datang beli air tebu di sini. Harga pun tak mahal, secawan RM1 saja.

"Berbanding musim hujan sebelum ni, pendapatan pakcik merosot. Pelanggan memang tak ramai sangat," katanya.

Peniaga, Mohd Rodzi Abd Halim,52, dari Kampung Tembak A berkata, sebanyak 100 cawan air tebu terjual dalam musim kemarau.

"Alhamdulillah, sehari dapat la 100 cawan terjual. Jika musim hujan dalam 60 atau 70 cawan saja terjual" ujarnya.

Terdahulu, Pakar Klimatologi dan Oseanografi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Fredolin Tangang @ Tajudin Mahmud dilaporkan berkata, semenanjung menjadi kurang berawan, cuaca stabil dan insolasi (radiasi pancaran matahari dan suhu meningkat) kesan daripada Taufan Lan yang menggegarkan timur Filipina.

Menurutnya, taufan itu ibarat menghempas "ekor" ke Sabah, Sarawak dan Labuan dengan menyebabkan peralihan kelembapan udara semenanjung ke kawasan berdekatan taufan terutama Sabah.


Panas di kawasan semenanjung dijangka berterusan hingga minggu depan. - Kedahnews.com