Datuk Seri Pukul Tiga Anggota Rela Direman Empat Hari


AMPANG JAYA - Seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang dikehendaki polis kerana didakwa membelasah tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di sebuah tokong di Kampung Baru Ampang, Selangor, Jumaat lalu direman selama empat hari bermula hari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali bermula semalam sehingga 3 November depan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut dua seksyen.

Dua seksyen itu ialah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.

Terdahulu suspek berusia 29 tahun yang memakai baju kemeja berwarna putih tiba di pekarangan bangunan mahkamah pukul 9.30 pagi.

Dia kemudian keluar dari kamar mahkamah pada pukul 12 tengah hari. 

Sumber: Kosmo