Datuk Seri Vida Terima Kejutan Kek Harga RM26K


KECOH perkarangan Pavilion Kuala Lumpur apabila pengasas produk kecantikan Vida Beauty, Datuk Seri Dr. Hasmizah Othman tiba dengan Lamborghini berwarna merah jambu miliknya di Red Box Plus, semalam.

Kehadiran jutawan kosmetik tersebut di perkarangan pusat beli belah itu adalah bersempena majlis pelancaran klip muzik video lagunya, I Am Me.

Vida dilihat tampil berbaju tidur berona sedondon dengan warna kereta mewah itu berjaya mencuri perhatian ramai peminat dan pelancong yang berada di lokasi.

Vida yang memandu sendirian Lamborghini berkenaan dikatakan sempat bertegur sapa dengan para peminat sebelum menuju masuk ke tempat pelancaran.

Ketika majlis, Vida telah dikejutkan dengan sebiji kek seberat 87 kilogram yang berwarna merah jambu dan putih.

Kek tersebut dihiasi dengan replika wang pelbagai negara. Bukan itu sahaja, malah terdapat juga patung dirinya di dalam tab mandi yang diletakkan di atas kek berkenaan.

Apa yang lagi menarik, harga kek yang sarat dihiasi dengan batu perhiasan kristal Swarovski itu mencecah sehingga RM26,000.

“Terima kasih kepada yang menghadiahkan kek ini dan ia benar-benar melambangkan diri saya,” katanya dipetik mStar Online.

Vida memaklumkan muzik video, I Am Me diarahkan oleh pengarah terkenal, Ghaz Abu Bakar itu menampilkan konsep mewah, glamor, cekal dan ranggi.

Penggambaran muzik video yang dilakukan selama dua minggu di kediaman mewahnya di Ipoh, Perak itu telah melibatkan kos sehingga RM1 juta untuk disiapkan.

“Alhamdulillah muzik video lirik I Am Me sebelum ini mencecah 9 juta tontonan dan berharap peminat akan menyukai muzik video terbaharu ini.

“Saya mencurahkan pelbagai idea untuk menghasilkan muzik video ini dengan bantuan Ghaz dan dia telah merealisasikannya dengan baik,” kata Vida.

Sementara itu, menurut Ghaz pula, proses suntingan muzik video tersebut baru sahaja disiapkan oleh beliau sekitar jam 3 pagi Rabu tadi. - Kedahnews.com