Datuk Vida Tukar Pembantu Peribadi... Kenapa Pula?


SEPANG – Jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Vida mengambil keputusan drastik menukarkan pembantu peribadinya, Ahmad Iqbal Zulkefli, 23, ke bahagian lain bagi menghentikan kisah spekulasi cinta mereka.

Vida yang tampil buat kali pertama menjelaskan tentang kontroversi itu mengambil keputusan untuk menukarkan Iqbal ke bahagian pemasaran di syarikat tersebut selepas lebih seminggu status hubungan mereka menjadi perhatian ramai.

Beliau turut memohon maaf kepada semua pihak terutama famili Iqbal apabila perkara itu mencetuskan kekecohan sehingga keluarganya meminta lelaki kelahiran Kelantan itu berhenti kerja daripada syarikat Vida Beauty Sdn. Bhd.

“Apa yang disebarkan itu menyebabkan reputasi, emosi saya dan anak-anak serta ibu Iqbal tercalar. Saya mohon maaf di atas kekecohan ini.

“Saya ingin jelaskan bahawa saya perlu tukar Iqbal ke jabatan lain, buat pemasaran tidak perlu lagi jadi pembantu peribadi saya. Sebenarnya pembantu peribadi saya ada empat orang yang bertugas di pelbagai bahagian,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini semalam.

Beliau ditemui selepas menghantar 15 pelajar pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah menunaikan umrah di Mekah.

Sumber: Kosmo