Deepavali: Lebih 6,000 Penduduk India Baling Terima Sari, Kurta


ALOR SETAR - Sempena sambutan Deepavali bakal tiba tidak lama lagi, Parlimen Baling menyumbang sari dan kurta kepada lebih 6,000 penduduk India di daerah itu.

Menurut Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, acara tahunan yang diadakan buat kali kelapan itu, bertujuan membantu meringankan kos perbelanjaan kaum India  dalam meraikan perayaan tersebut.

"Hari ini adalah acara kemuncak di mana lebih 3,000 penduduk India menerima sumbangan.  Secara keseluruhan, kita membelanjakan lebih RM700,000 bagi sumbangan ini termasuk pemberian wang tunai dan hamper makanan.

"Tahun ini, kita memberinya kepada setiap orang kerana mahu setiap isi rumah mendapat sumbangan yang diberi,"katanya kepada media selepas Program Perpaduan Masyarakat India 2017 dan Penyampaian Sumbangan bersempena Deepavali di Kuala Ketil, semalam.

Abdul Azeez berkata saban tahun, pihaknya berusaha menambah baik dan meningkatkan  pemberian sumbangan agar dapat disampaikan dengan sama rata tanpa mengira fahaman politik dan kaum.

Abdul Azeez berkata, sempena Deepavali tahun ini, lebih 100 rumah masyarakat India  turut dibaik pulih dan diberi sumbangan pelbagai bantuan termasuk kerusi roda kepada yang memerlukan.

"Ia akan terus dilakukan walaupun bukan musim perayaan kerana ia adalah komitmen kami dalam memberi yang terbaik kepada masyarakat,"ujarnya yang dipetik dari Bernama.

Sementara itu, seorang penduduk Puspathi Valoo, 53, berkata dia amat terharu dengan pemberian sumbangan tersebut.

"Saya amat gembira sekali kerana ibu, Kutamah Perumal, 77, yang lumpuh sejak beberapa tahun lalu juga turut menerima sumbangan. Pemberian ini amat bermakna bagi kami kerana ia dapat menampung perbelanjaan dapur dan dapat menyambut perayaan Deepavali dengan lebih meriah,"katanya.- Kedahnews.com