Demam Selsema Biasa Boleh Memudaratkan


KUALA LUMPUR - Influenza atau demam selesema mungkin jangkitan saluran pernafasan yang biasa berlaku di Malaysia, namun jangan sesekali mengambil mudah penyakit ini kerana ia boleh mendatangkan mudarat.

Perunding Kanan Klinikal Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Yasmin Abdul Malek berkata, demam selesema boleh menyebabkan komplikasi berkaitan sistem pernafasan, kardiovaskular dan sistem saraf.

Berdasarkan 'serosurveillance' iaitu komponen penting dalam mana-mana sistem pengawasan komprehensif untuk penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin, yang menggunakan ujian molekul, demam selesema dikesan dalam 13 peratus sampel pernafasan yang diambil daripada pesakit yang mengalami penyakit seperti deman berkenaan.  

Menurut Yasmin, satu kajian turut menunjukkan antara tahun 2008 dan 2010, kadar 'seroprevalence'  (atau paras patogen seperti virus dan beberapa mikroorganisma lain dalam populasi yang diukur dalam serum darah) untuk Influenza A H1N1 adalah 22.3 peratus dan Influenza A H3N2, 14.7 peratus.

“Walaupun ia satu penyakit biasa (di Malaysia), namun kemudaratannya tidak boleh dipandang remeh, terutamanya jika kita termasuk dalam profil pesakit yang mudah dijangkiti.

“Malah, jika tidak dimasukkan ke hospital, seseorang yang dijangkiti demam selesema boleh mengalami komplikasi serius seperti serangan jantung atau angin ahmar,” jelas beliau.

Komplikasi pernafasan yang berlaku akibat demam selesema termasuk sinusitis (radang sinus), pneumonia (radang paru-paru) dan bronkitis.

Sementara itu, komplikasi kardiovaskular termasuk kegagalan jantung dan berisiko tinggi terkena serangan jantung, komplikasi sistem saraf termasuk sindrom Reye (keadaan yang jarang berlaku tetapi serius dan boleh menyebabkan bengkak hati dan otak pada kanak-kanak), ensefalitis virus akut (juga pada kanak-kanak) dan sindrom Guillain-Barre(gangguan autoimun).  

Yasmin berkata risiko komplikasi tertinggi berlaku di kalangan wanita hamil, kanak-kanak berumur antara enam dan 59 bulan, warga tua berusia lebih 65 tahun, golongan lemah sistem imun, mereka yang mengalami masalah perubatan tertentu seperti asma serta penyakit jantung atau paru-paru dan pekerja penjagaan kesihatan.  

Menurut beliau 50 peratus daripada mereka yang terkena jangkitan demam selesema lazimnya tidak menunjukkan sebarang gejala, justeru tanpa disedari menyebarkan penyakit itu kepada orang lain.

“Jika kita termasuk dalam golongan 50 peratus ini, kita mungkin tak rasa apa-apa, tetapi kitalah yang menyebarkan virus kepada orang lain seperti anak kita atau -anak atau datuk nenek, sekali gus menyebabkan mereka jatuh sakit,” kata  Yasmin yang juga pensyarah sambilan di Jabatan Mikrobiologi Perubatan di Fakulti Perubatan Universiti Malaya.

Wabak demam selesema dalam kalangan kanak-kanak sekolah juga sering berlaku di negara ini.

“Mereka (kanak-kanak sekolah) mempunyai kadar tertinggi serangan demam selesema ketika tempoh interpandemic (antara waktu penyakit tersebar).

"Dan, ketika berlaku wabak, mereka lebih awal dijangkiti berbanding golongan usia lain,” katanya, sambil menambah kanak-kanak turut menghadapi risiko tinggi menyebarkan penyakit itu dalam lingkungan masyarakatnya berbanding orang dewasa.    

Sambil merujuk kepada hasil kajian tempatan ke atas 132 kanak-kanak yang dimasukkan di Kuala Lumpur akibat demam selesema dari tahun 2002 hingga 2007, Yasmin berkata, 16 daripada mereka mengalami demam selesema yang teruk dan memerlukan penjagaan intensif atau pengalihudaraan.

Katanya, sembilan daripada 16 pesakit itu sebelum ini dilaporkan sihat.

Berlaku tiga kematian dan antara yang meninggal dunia adalah seorang yang sihat sebelum itu, malah tidak ada sebarang tanda penyakit kronik.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada 2008 di seluruh dunia, terdapat 28,000 hingga 111,500 kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun akibat jangkitan respiratori akut yang ada kaitan dengan demam selesema.

Dilaporkan juga, 99 peratus daripada kes itu berlaku di negara membangun.

MENCEGAH LEBIH BAIK DARIPADA MERAWAT

Yasmin berkata, dengan adanya vaksin demam selesema, risiko komplikasi berkaitan influenza dapat dikurangkan.

Malah, WHO mencadangkan agar pemberian vaksin tahunan dibuat bagi individu berisiko tinggi, termasuk wanita hamil, kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga lima tahun dan individu berumur lebih 65 tahun, selain penghidap penyakit kronik dan pekerja penjagaan kesihatan.

“Bukan sahaja anda melindungi diri sendiri malah masyarakat dan, paling penting, insan tersayang kerana seperti yang kita sedia maklum, rakyat Malaysia gemar memeluk dan mencium cucu mereka. Hubungan rapat ini sebahagian daripada budaya kita,” kata Yasmin.

Beliau berkata, orang dewasa yang mengambil vaksin demam selesema boleh membantu melindungi bayi di bawah usia tiga tahun yang masih belum boleh divaksin.

Vaksin selesema menyebabkan antibodi terbentuk di dalam tubuh dua minggu selepas diberi vaksin. Antibodi ini memberikan perlindungan daripada sebarang jangkitan dengan virus yang terdapat dalam vaksin berkenaan.

Pada masa ini, terdapat dua jenis vaksin iaitu 'trivalent inactivated vaccine' (TIV) yang mengandungi dua strain Influenza A dan satu strain Influenza B; dan vaksin kedua, 'Quadrivalent Influenza Vaccine'  (QIV) yang terdiri daripada dua strain Influenza A dan dua strain Influenza B.

Baru-baru ini, GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd memperkenalkan Fluarix Tetra, 'inactiavted QIV',  bertujuan melindungi orang dewasa dan kanak-kanak berumur tiga  tahun ke atas daripada  jangkitan demam selesema..

MENGENAI DEMAM SELESEMA  

Influenza atau deman selesema adalah penyakit respiratori yang boleh berjangkit dan ia berpunca daripada virus yang menjangkiti hidung, tekak dan paru-paru.

Terdapat tiga jenis influenza, iaitu Influenza A, B dan C.

Jenis A dan B menyebabkan wabak demam selesema tahunan yang menjangkiti sekitar lima hingga 10 peratus orang dewasa dan 20 hingga 30 peratus kanak-kanak setiap tahun di seluruh dunia.

Berbeza daripada deman selesema biasa, antara gejalanya termasuk hidung berair atau tersumbat. Gejala demam ini juga memberi kesan kepada seluruh tubuh badan seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit otot atau badan, sakit kepala dan kelesuan.

Seorang dewasa yang terkena virus mungkin boleh menyebarkan penyakit ini dari hari pertama lagi hingga hari kelima hingga ketujuh, selepas jatuh sakit.

Sementara itu, kanak-kanak mungkin terus menyebarkan virus sehingga hari ketujuh setelah terkena jangkitan.

Virus demam selesema adalah jangkitan bawaan udara dan merebak melalui titisan daripada seseorang yang mengalami selesema, batuk, bersin atau berhubungan rapat dengan orang lain.

Di Malaysia, demam selesema tidak bermusim dan ia berlaku sepanjang tahun. - Bernama