Dewan Rakyat Ucap Takziah Kemangkatan Sultan Kedah


ALOR SETAR- Dewan Rakyat hari ini merakamkan ucapan takziah atas kemangkatan Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, pada 11 September lalu.

Ucapan takziah tersebut dibacakan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebelum sidang Mesyuarat Ketiga bagi penggal kelima Parlimen Ke-13 bermula, hari ini.

"Bagi pihak Majlis Dewan Rakyat, saya mengucapkan takziah pada Sultanah Kedah, Tuanku Hajah Haminah Hamidun dan seluruh kerabat Diraja Kedah.

"Almarhum mencipta sejarah dalam pemerintahan beraja di negara ini kerana menjadi sultan pertama menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali, iaitu pertama kali bagi tempoh bermula 23 Julai 1970 hingga 21 September 1975, dan kali kedua bagi tempoh 13 Disember 2011 hingga 12 Disember 2016.

"Ucapan ini perlu disimpan dalam arkib dan satu lagi salinan dihantar pada Sultanah Kedah," katanya yang dipetik dari BH Online.

Seterusnya, Ronald memohon ahli Dewan Rakyat beragama Islam membacakan al-Fatihah kepada Almarhum Sultan Kedah, manakala yang bukan Islam bertafakur selama satu minit, sebelum mesyuarat diteruskan. - Kedahnews.com