PEMILIK syarikat perancang perkahwinan Zurin Jundi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Klang, hari ini atas dua tuduhan memperdaya pelanggannya dengan wang tunai berjumlah RM7,000 pada Mac dan Jun tahun ini.
Tertuduh, Zurina Ahmad Jundi, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.
Mengikut pertuduhan pertama, Zurina didakwa memperdayakan Zainon Ali, 54, dengan menawarkan perkhidmatan pakej perkahwinan dan mendorong ibu kepada bakal pengantin itu menyerahkan wang berjumlah RM5,000 melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM) ke akaun miliknya sebagai wang pendahuluan bagi pakej berkenaan.
Perbuatan itu dilakukan pada 16 Mac 2017 di Bank CIMB Pelabuhan Klang dan dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan kedua, Zurina didakwa memperdayakan wanita sama untuk menyerahkan wang berjumlah RM2,000 sebagai wang pendahuluan bagi pakej perkahwinan yang ditawarkannya.
Perbuatan itu dilakukan pada 17 Jun 2017 di No 23-1 Jalan Plumbum, Pusat Komersil Seksyen 7, Shah Alam dan dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebatan serta denda.
Kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amira Abd Aziz memohon agar tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Bagaimananapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan itu dikurangkan kerana dia dalam proses menjual barang untuk memulangkan duit pelanggannya.
Majistret Rozianti menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dan kes ditetapkan pada 16 November ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
Sumber: MyMetro