KUALA LUMPUR - Ujian doping sampel B bagi atlet Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang gagal ujian doping sebelum ini akan dilakukan pada Rabu di New Delhi, India.
Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping Sukan SEA Kuala Lumpur, Datuk Dr SS Cheema berkata dua daripada tiga atlet yang gagal ujian doping dalam saingan Sukan SEA baru-baru ini telah meminta untuk membuka sampel B.
“Seorang atlet penerjun negara yang terlibat itu sudah berlepas ke India hari ini bagi menyaksikan ujian tersebut.
“Seorang lagi tidak ke India tetapi memberi kebenaran untuk melakukan ujian sampel B dirinya,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini, Selasa.
Menurut Dr Cheema, selepas mendapat keputusan ujian sampel B itu, ketiga-tiga atlet yang terbabit akan diberi kebenaran untuk sesi pendengaran.
“Pada sesi itu, atlet berkenaan akan menjelaskan bagaimana bahan terlarang itu boleh berada di dalam badan mereka dan selepas itu jawatankuasa pendengaran akan membuat keputusan seterusnya (dan) akan dihantar kepada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) untuk diambil tindakan,” katanya.
Dr Cheema menjelaskan, jika atlet terbabit didapati bersalah maka SEAGF akan menarik balik pingat yang dimenanginya.
“Dari segi penggantungan atlet, ia terserah kepada badan induk sukan atlet berkenaan untuk memberi hukuman penggantungan,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Presiden MOM Tan Sri Tunku Imran Tunku Ja'afar mengumumkan Datuk Mumtaz Jaafar dilantik menjadi Ketua Kontinjen negara (CDM) pada Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, Korea Selatan tahun hadapan.
“Kami telah memilih Mumtaz Jaafar sebagai Chef de Mission (CDM) untuk Sukan itu dan pengurus pasukan ialah Irene Chow yang merupakan ibu Julian Yee.
“Pemilihan itu dicadangkan oleh Persatuan Luncur Ais Malaysia dan disokong oleh anggota jawatankuasa,” katanya.
Julian yang beraksi dalam acara figure skating menjadi atlet kedua negara layak ke Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang.
Terdahulu, peluncur ski negara, Jeffrey Webb mengesahkan tempat untuk beraksi pada temasya yang akan berlangsung dari 9 hingga 25 Februari 2018. - BERNAMA