Dr. Mahathir Bantah Kenaikkan Upah Penjawat Awam, Dakwa Harga Barang Akan Naik


ALOR SETAR -Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad membantah kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak menaikkan gaji atau upah kepada penjawat awam kerana ia akan menjadi  penyebab kenaikan harga barang.

"Tidak ada faedah naik gaji, kalau harga barang mahal dan akan menyusahkan rakyat, " kataDr. Mahathir.

Sehubungan itu, katanya Pakatan Harapan berjanji hapuskan Cukai Perkhidmatan Barangan (GST) sebagai sahaja membentuk kerajaan jika menang selepas pilihanraya umum akan datang.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Selamatkan Malaysia dan Hapus Kleptokrasi  anjuran Pakatan Harapan di Stargate dekat sini malam tadi yang dihadiri tidak sampai 2,000 orang.

Turut berucap, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Parti Amanah Malaysia (PAN), Mohamad Sabu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar dan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
.  
Semalam Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membidas  Dr. Mahathir  dengan menyifatkan penjawat awam pada hari ini lebih banyak menerima manfaat berbanding ketika 22 tahun pentadbiran bekas Perdana Menteri itu.

Kenyataan tegas itu disua­ra­kan oleh Presidennya, Datuk Azih Muda berikutan tulisan Dr. Mahathir dalam blog beliau semalam yang antara lain menyifatkan inisiatif disalur kepada penjawat awam sebagai pembaziran.

Azih memberitahu pada suatu masa ketika di bawah pentadbiran Dr. Mahathir, penjawat awam hanya menerima kenaikan gaji sebanyak RM5 sahaja.

“Adakah mahu kembali kepada zaman itu? Kerajaan pada hari ini sedar mengenai peningkatan kos sara hidup, sebab itu beberapa kali menyemak emolumen penjawat awam untuk bantu kurangkan beban mereka.

“Kerajaan pada hari ini le­bih prihatin dengan nasib penjawat awam berbanding zaman Dr. Mahathir dulu. Zaman beliau dahulu, kebajikan penjawat awam tidak diurus de­ngan baik, zaman beliau tidak ada kediaman untuk penjawat awam seperti hari ini.

“Kerajaan di bawah kepe­mimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berhempas-pulas menyediakan kediaman selesa untuk penjawat awam,” katanya ketika dihubungi  media tempatan semalam.

Dr. Mahathir menerusi blog beliau mempertikaikan langkah kerajaan menyemak beberapa kali emolumen penjawat awam serta keputusan menambah bilangan kakitangan awam di negara ini.

Menerusi kenyataan di blog tersebut, Dr. Mahathir turut mempersoalkan pemberian inisiatif-inisiatif kepada rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), elaun sara hidup kepada nelayan serta elaun bulanan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Ke­selamatan Kampung (JKKK).

Dalam ucapannya malam tadi, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PPBM mendakwa kerajaan tidak wang dan ia hanya 'janji' Perdana Menteri kepada penjawan awam untuk hadapi pilihan raya.

Najib akan membentangkan Bajet 2018 minggu depan dan penjawat awam dijangka  menerima pelbagai manfaat termasuk kenaikan upah dan pelepasan cukai manakala rakyat berpendapatan rendah dijangka menerima kenaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) - Kedahnews.com