Dr. Mahathir, Pakatan Harapan Bakal Hilang Sokongan Pengundi Bugis Pada PRU14?


KENYATAAN Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada ucapan beliau di perhimpunan rakyat Sabtu lalu yang menyinggung masyarakat keturunan Bugis di Malaysia  bakal menjauhkan lagi minoriti itu dengan parti pembangkang - PPBM, PKR, PAN dan DAP.

Perlu disebut, selain di Sabah, ramai keturunan Bugis menjadi rakyat yang setia kepada kerajaan di negeri Johor dan negeri lain di Semenanjung.

Sehubungan itu Dr Mahathir yag juga Pengerusi PPBM didesak memohon maaf secara terbuka kepada semua masyarakat Bugis atas kenyataan biadab beliau yang mendakwa  keturunan etnik nusantara  itu sebagai 'lanun dan perompak'.

Bekas Presiden Persatuan Komuniti Bugis Sabah, Datuk Osman Jamal, berkata kenyataan dibuat bekas Perdana Menteri itu amat mengecewakan dan menyinggung ramai pihak.

Beliau yang sudah 31 tahun menerajui persatuan itu berkata, jika tiada permohonan maaf terbuka dibuat oleh Dr Mahathir, maka pihaknya tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis.

"Saya sudah melihat video ucapan itu. Sebagai seorang Melayu keturunan Bugis, kenyataan itu sangat mengecewakan.

"Beliau sendiri selalu mengingatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa hormat menghormati antara satu bangsa dengan yang lain.

"Malah, tindakan menghina bangsa seorang pemimpin tidak harus dilakukan demi perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Jika beliau enggan memohon maaf, maka segala rasa hormat kami kepada beliau sudah tiada," katanya ketika dihubungi oleh sebuah akhbar tempatan semalam.

Dr Mahathir ketika berucap pada himpunan Anti-Kleptokrasi di Padang Timur, Petaling Jaya pada Sabtu lalu mendakwa Datuk  Seri Najib Razak) berasal dari lanun Bugis yang 'sesat'. hingga sampai ke Malaysia. 

"Pergi baliklah ke Bugis"... kata Dr. Mahathir yang tidak sedar  bahawa beliau Allahyarham Tun Razak Hussein juga mempunyai salah- silah dengan pembesar Bugis di Sulawesi.

Semasa menjadi Perdana Menteri kedua, Tun Razak telah mengambil semula Dr. Mahathir yang disingkirkan daripada UMNO oleh Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra.

Najib mempunyai hubungan yang akrab dengan Gowa, Sulawesi memandangkan beliau mempunyai darah keturunan raja Gowa ke sembilan belas, Sultan Abdul Jalil.

Semasa mengadakan lawatan ke Gowa pada 2005 beliau telah diberikan gelaran Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrabone oleh masyarakat Gowa.

Sementara itu, Penaung Persatuan Melayu Bugis Selangor Daerah Sepang, Tengku Datuk Prof Dr Jamaluddin Tengku Mahmud Shah Al-Haj, menuntut Dr Mahathir supaya menarik semula kenyataan yang dibuatnya dan mengakui kesilapannya berhubung masyarakat bangsa Bugis.

Kenyataan Dr Mahathir itu, katanya, merendahkan ilmu pengetahuannya yang membawa kepada keruntuhan sifat sebagai seorang pemimpin yang berwibawa.

"Kenyataan itu adalah satu penghinaan kepada bangsa Bugis dan secara tidak langsung memperlihatkan Tun Mahathir telah menjatuhkan kredibilitinya sebagai seorang pemimpin yang unggul dan tokoh negarawan.

"Penghinaan ini tidak boleh diterima sama sekali dan tidak boleh sama sekali mengaitkan kepemimpinan itu atas faktor keturunan.

"Saya percaya Dr Mahathir sendiri sedar, kalau tidak kerana kehadiran dan pembabitan Opu Bugis Lima Bersaudara ke semenanjung Tanah Melayu,  takkan wujud sebuah Empayar Kerajaan Melayu Johor-Riau-Lingga," katanya.

Kenyataan Dr. Mahathir itu juga dilihat tidak lagi melambangkan keperibadian beliau sebagai pemimpin dihormati dan diagung-agungkan oleh masyarakat dunia dan di rantau Asia Tenggara ini. - Kedahnews.com