Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak pada Jumaat lepas hanya sekadar untuk memuaskan hati dan menggembirakan rakyat.
Dalam hal ini, apakah Dr. Mahathir mahu rakyat Malaysia berduka dengan Bajet 2018?
Seperti anggota pembangkang lain dalam Pakatan Harapan, Dr. Mahathir menyifatkan Bajet 2018 juga sebagai belanjawan menjelang pilihan raya umum ke 14. Tahun lepas juga pembangkang menyifatkan Bajet 2017 sebagai bajet pilihan raya.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak bagaimanapun membidas dakwaan Dr. Mahathir dan menyatakan dakwaan bekas Perdana Menteri tentang Bajet 2018 itu sebagai kurang jelas dan tidak konsisten.
"Ini yang berlaku apabila seseorang bercakap hanya semata-mata hendak bercakap, tetapi tidak ada apa yang mahu dinyatakan," kata Salleh dalam catatan terbaharu blog beliau.
Salleh turut mempersoalkan rungutan Dr Mahathir bahawa bajet yang dibentangkan Perdana Menteri hanya semata-mata untuk memuaskan hati rakyat dan menggembirakan mereka.
"Tetapi bukankah ini apa yang kerajaan mesti lakukan; membuat rakyat gembira? Sampai bila sesebuah kerajaan yang tidak membuat rakyatnya gembira akan dapat bertahan?," tanya beliau seperti mana yang dilaporkan Bernama.
Dr. Mahathir juga meragui bagaimana kerajaan akan membayar kos untuk mentadbir negara jika apa yang kerajaan lakukan adalah semata-mata menyalurkan sumbangan kepada rakyat.
Dalam hal ini Salleh berkata, bukankah ini apa yang pembangkang rungutkan bahawa kerajaan tidak menjaga keperluan kewangan rakyat dan rakyat menderita di bawah kerjaan Barisan Nasional.
"Kemudian, apabila kerajaan mengambil berat keperluan kewangan rakyat dalam Bajet 2018, Dr Mahathir menyatakan beliau tidak tahu bagaimana wang itu akan diperoleh dan merungut kerajaan perlu meminjam lebih banyak wang," katanya.
Salleh turut mempersoal manifesto Pakatan Harapan yang mahu memansuhkan semua caj tol di seluruh Malaysia serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), selain pelbagai jenis cukai lain.
"Jika ini dilakukan, bagaimanakah kerajaan akan membelanjakan untuk pembangunan? Kemudian mereka menyatakan mereka boleh mendapatkan kembali wang tersebut dengan mengurangkan ketirisan dan menghapuskan rasuah.
"Berapa banyakkah apa yang dikatakan ketirisan dan rasuah itu? Bagaimana mereka boleh mendapatkan angka itu sedangkan mereka tidak tahu butirannya. Menyatakan kerajaan akan mengurangkan cukai dan kemudian mendapatkan semula cukai yang hilang itu melalui penjimatan sama sekali tidak masuk akal," kata Salleh
Sebelum ini Presiden Pakatan Harapan Datuk Sri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mendakwa Bajet 2018 adalah 'dendangan janji untuk hadapi PRU'.
Beliau yang juga Presiden PKR bagaimanapun memuji bajet yang dibentangkan oleh suami beliau bekas Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1997.
Wan Azizah berkata, pembentangan bajet waktu itu mencatatkan rekod positif yang belum diraih secara konsisten oleh Menteri Kewangan selepas Anwar. - Kedahnews.com