Dua Beranak Di Kuantan Selongkar Tong Sampah Cari Makanan


KUANTAN - Malang buat seorang wanita bersama anak perempuannya berusia lima tahun apabila mereka terpaksa hidup merempat dengan tidur di surau di kawasan bandar ini pada setiap malam selepas keluar dari rumah sewa mereka sejak 20 hari lalu.

Pada sebelah siang pula, Siti Azlina Abd Aziz, 37, bersama anaknya Siti Noraisyah Umairah Mohd Khairul Anuar keluar mencari makanan di dalam tong sampah untuk mengalas perut supaya tidak kelaparan.

Siti Azlina mendakwa kesusahan dan kehidupan melarat dilaluinya sejak lebih 20 hari lalu bermula selepas suaminya dikenakan hukuman penjara seumur hidup kerana terbabit dalam kes dadah kira-kira sebulan lalu.

Katanya, dia kini sentiasa membayangkan nasib dan masa depan mereka semakin gelap, malah turut buntu sehingga membuat keputusan keluar dari rumah sewa mereka di Kampung Pandan, di sini.

“Sebelum ini, kami menyewa rumah berkenaan dengan semua bayaran dilakukan suami, tetapi kini saya mula hilang arah apabila lelaki yang menjadi tempat bergantung dipenjarakan.

“Kerana tidak mampu membayar sewa termasuk ada yang masih tertunggak, saya dan anak nekad keluar dari rumah sehelai sepinggang.

“Saya kerap tidur di surau Cenderawasih, di sini, kadangkala di beberapa surau lain di kawasan berhampiran terutama yang tidak berkunci atau padang bola keranjang di Kampung Baru, dekat sini, manakala pada siang hari terpaksa keluar ke kawasan lain mencari tempat boleh berteduh,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru, di sini, kelmarin.

Sumber: MyMetro