SHAH ALAM - Selain mengikuti kelas vokal bagi memantapkan persembahannya menjelang Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Elyana, 30, turut menyertai kelas mengaji bertujuan memperbetulkan teknik sebutan.
Berkata kepada Utusan Online, pemilik nama sebenar Erneelya Elyana Emrizal itu memberitahu bahawa teknik tersebut penting agar setiap sebutan menerusi lagu yang disampaikan kedengaran jelas.
“Kalau kita perasan, juri pertandingan realiti terutama Syafinaz Selamat selalu menegur tentang kesalahan ‘diction’ yang sering dilakukan oleh peserta.
“Justeru bagi mengelakkan daripada melakukan kesilapan tersebut, saya ambil inisiatif ini supaya penyampaian yang bakal dipersembahkan mencapai tahap yang sewajarnya.
“Diakui, kebanyakan penyanyi mengambil mudah dan memandang enteng akan hal ini, namun saya percaya ia membantu meninggalkan kesan dalam persembahan,” katanya yang mengikuti kelas tersebut sekian lama.
Pada masa yang sama, tindakannya itu dianggap satu ibadah kerana kelas tersebut memberinya ruang serta peluang untuk membaca kalimah-kalimah Allah di dalam al-Quran.
Katanya, disebabkan kekangan masa menguruskan hal rumah tangga, perniagaan dan karier seninya, dia tidak berkesempatan untuk mengaji surah-surah lazim kitab suci berkenaan.
“Inilah masanya untuk saya menunaikan ibadah tersebut dan pada masa yang sama, berlatih vokal,” tambahnya.
Bakal mempertaruhkan lagu popular berjudul Tak Tercapai Akalmu pada malam konsert pertama GV4, Elyana berserah kepada juri sepenuhnya untuk membuat penilaian.
GV4 akan bermula pada 29 Oktober ini dan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria serta Astro Ria HD.
Sumber: Utusan Online