Enggan Lepas Jawatan, Guan Eng Tak Hormat Perlembagaan DAP - Rizal Mansor

KETUA Menteri  Pulau  Pinang  Lim Guan Eng perlu melepaskan jawatan Setiausaha Agung DAP selepas menyandangnya sejak tiga penggal lalu.

Gesaan itu dibuat Datuk Rizal Mansor yang juga pegawai khas Perdana Menteri, selepas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dilaporkan memberikan alasan masih mahu  bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) atas alasan teknikal.

“Sepatutnya, walaupun ada alasan teknikal, daripada segi moral, Guan Eng perlulah melepaskan jawatan tersebut kepada orang lain.

“Hormatilah perlembagaan parti sendiri, pegang setakat sembilan tahun sahaja,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Gesaan oleh Rizal itu juga senada dengan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke pada tahun lalu yang pernah menuntut Guan Eng bertanding jawatan lain jika pemilihan CEC di jalankan berikutan perlembagaan parti menghadkan jawatan berkenaan dipegang selama tiga penggal sahaja.

Anak Penasihat DAP itu dilaporkan bertegas untuk bertanding jawatan Setiausaha Agung pada pemilihan CEC yang dijadualkan pada November depan.

Pada masa sama, Rizal (foto) melabelkan Guan Eng sebagai ‘gila kuasa’ kerana enggan melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri walaupun berhadapan dua pertuduhan rasuah di mahkamah.

“Kepada semua rakyat Malaysia, parti beginikah yang diharapkan untuk membawa perubahan kepada Malaysia?” soal Rizal.

Sumber : BNNBC