Felda Berdepan Ujian Getir Di Stadium Darul Aman


KUANTAN – Pengendali Felda United, B. Sathianathan menyifatkan pasukannya pasti berdepan tugas getir apabila bertandang ke Stadium Alor Setar berdepan Kedah pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia, Sabtu ini.

Biarpun kedua-dua pasukan masih mempunyai peluang untuk layak ke pentas final selepas terikat 1-1 pada perlawanan pertama, skuad Lang Merah sudah pasti mahu mengekalkan status juara bertahan.

“Kita tahu Kedah akan turun tanpa Liridon Krasniqi dan Khairul Helmi Johari yang digantung satu perlawanan, namun itu bukan tugas mudah bagi kami.

“Kedah pasukan yang sangat kuat dan saya tidak anggap kami dapat menewaskan skuad kendalian Mohd. Nidzam Adzha dengan mudah biarpun tanpa perancang utama mereka,” katanya.

Menurutnya, Lang Merah masih mempunyai Sandro Da Silva, Ken Ilso dan Baddrol Bakhtiar yang mampu memusnahkan impian Felda United untuk layak ke perlawanan akhir.

“Kedah mempunyai ramai pemain berbakat dan mereka tidak berdepan dengan masalah untuk mencari pemain gantian untuk diturunkan Sabtu ini,” ujarnya.

Beliau memberitahu, anak-anak buahnya akan membuat persiapan rapi sebelum ke Alor Setar terutama persediaan mental dan fizikal untuk berdepan dengan perang psikologi daripada penyokong setia Lang Merah.

“Kita mempunyai rekod baik beraksi di Alor Setar, menewaskan Kedah 3-1 pada aksi Liga Super sebelum ini namun sejarah lalu tidak perlu diungkit kerana semuanya bakal merubah apatah lagi bersaing untuk ke final,” jelasnya.

Tambah beliau, semua pemain turut menjalani latihan sepakan penalti kerana tidak mustahil perlawanan akan dilanjutkan sekiranya kedua-dua pasukan masih seri selepas mengambil kira jaringan di tempat lawan.

“Saya yakin semua pemain akan lakukan yang terbaik untuk pasukan dan warga Felda serta berharap penyokong kami turut membanjiri stadium berkenaan bagi memberi sokongan dan semangat,” kata beliau.

Dalam perlawanan pusingan pertama, Sandro Da Silva meletakkan Kedah di hadapan menerusi sepakan penalti pada minit ke-60 sebelum Mohd Hadin Azman menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-83.

Sumber: Utusan Online