GERIK - Festival Loma iaitu pesta menyauk ikan loma di Sungai Rui, dekat sini akan dijadikan acara tahunan dan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negara untuk dijadikan sebagai acara bertaraf antarabangsa pada masa akan datang.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata festival unik yang hanya ada terdapat di Gerik dan cukup popular di daerah itu diyakini akan menarik minat pelancong tempatan dan luar negara dan mampu mengetengahkan acara itu kepada masyarakat luar.
"Saya yakin, festival unik ini akan menarik kedatangan pelancong termasuk pelancong asing kerana kaedah yang digunakan untuk menangkap ikan loma adalah kaedah tradisional yang jarang ada di tempat lain.
"Festival ini akan dirangka sebagai festival antarabangsa dan diharapkan ia akan membantu memacu industri eko pelancongan negara," katanya pada sidang media selepas merasmikan Festival Loma 2017 di Dataran Loma Sungai Rui Gerik, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Nor Yahati Awang; Timbalan Ketua Pengarah Promosi Tourism Malaysia, Datuk Sri Abdul Khani Daud dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Dr Bah Piyan Tan.
Nazri berkata, penyenaraian acara itu ke dalam kalendar pelancongan juga akan dapat menambahkan lagi keunikan daerah Hulu Perak yang terkenal dengan Hutan Royal Belum.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perikanan Air Tawar Hulu Perak, Ahmad Faezul Ismail, berkata Sungai Rui mempunyai keistimewaan apabila menjadi satu-satunya laluan ikan loma untuk melepaskan telur di hulu sungai, khususnya pada Ogos hingga November setiap tahun.
"Sungai Rui sepanjang 20 kilometer kini dipenuhi spesies ikan loma selain beberapa spesies ikan lain dan sejak dari Ogos lalu sebanyak kira-kira 30 metrik tan ikan loma sudah berjaya dinaikkan disebabkan musim bertelur ikan loma bermula," katanya.
Festival dua hari anjuran Persatuan Perikanan Air Tawar Hulu Perak yang dihadiri kira-kira 5,000 penduduk itu turut diselitkan dengan 13 acara lain selain pesta menyauk ikan loma, seperti panjat tiang licin, meniti titian licin, pukul bantal, menyelam paling lama, tarik tali dan pertandingan menangkap itik.
Sumber: BH Online