First Solar Lonjak Nilai Pelaburan Di Kulim - Ku Rahman


KULIM -  Kerajaan Kedah yakin First Solar Malaysia mampu melonjakkan jumlah pelaburan syarikat sehingga 25 peratus atau RM10 bilion apabila kilangnya di sini menerima peralatan baharu pembuatan panel solar berteknologi tinggi dan terkini, Fotovolta Siri 6.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail turut menyifatkan pelaburan terbaharu First Solar itu akan memberi kesan berganda terhadap kawasan perindustrian tinggi Kulim (Hi-Tech Kulim) dalam jangka panjang terutamanya dari segi pertambahan nilai jumlah pelaburan.

"Sejak bertapak selama 10 tahun di sini, mereka sudah sudah melabur sehingga RM6.6 bilion dan ia menyumbang lebih 10 peratus atau RM40 bilion setahun kepada jumlah keseluruhan pelaburan di Hi-Tech Kulim.

"Oleh itu, dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang, penerimaan peralatan baharu dengan kos lebih RM1 bilion ini (akan menyaksikan) First Solar melabur RM3 bilion lagi, sekali gus melonjakkan jumlah pelaburan sedia ada.

"Bagi pihak kerajaan negeri, kita mengalu-alukan pelaburan sebegini termasuk syarikat lain beroperasi di Hi-Tech Kulim," katanya kepada pemberita selepas majlis penerimaan peralatan itu di sini, kelmarin

-Bernama.