KEHANGATAN Grand Prix Formula Satu (F1) mencapai kemuncaknya apabila semalam merupakan hari terakhir perlumbaan itu diadakan di litar Antarabangsa Sepang, Malaysia.
Kebiasaannya, bukan hanya peserta perlumbaan ini yang menjadi bualan netizen, namun gadis litar yang sinonim dengan pakaian seksi turut mencuri perhatian orang ramai.
Namun untuk perlumbaan kali ini, tiada lagi gadis litar seksi, sebaliknya pakaian mereka lebih bergaya dan tidak terlalu menonjol.
Gandingan duo pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini diberikan peluang untuk mereka baju gadis litar bagi tahun ke-19 dan yang terakhir diadakan di Malaysia.
Sudah pasti ianya merupakan satu penghormatan buat mereka menjadi antara pereka fesyen yang bertuah mereka busana gadis litar bagi perlumbaan berprestij ini.
“Sebenarnya sudah lama saya teringin nak reka baju untuk gadis litar Formula Satu sejak dari saya sekolah menengah lagi. Ini adalah salah satu impian saya dan ia telah pun menjadi realiti.
Apa yang saya cuba tampilkan hari ini adalah mengikut apa yang saya dan Rizman sendiri mahu curahkan”, kata Ruzaini dipetik laporan Suria FM.
Bagi memperkenalkan rekaan busana yang akan digayakan oleh 64 orang gadis litar itu, satu pertunjukan khas telah diadakan. Dengar-dengarnya, pereka fesyen duo ini mereka 64 busana berdasarkan ukuran dan potongan badan setiap model.
Untuk rekaannya pula, Rizman dan Ruzaini menampilkan dua rekaan eksklusif dan diinspirasikan dari Baju Kurung dan Baju Kebaya. Warnanya pula sudah pasti gandingan warna rasmi Petronas iaitu hijau dan putih.
“Kami membuat kajian agak lama untuk menghasilkan rekaan ini. Kami melihat kembali rekaan-rekaan yang pernah dihasilkan oleh pereka terdahulu.
Kami mahu buat sesuatu yang belum pernah dihasilkan. Sebab itu kami bermain dengan potongan serta penggunaan fabrik jenis renda untuk tampil berlainan”, ujar Rizman.
Rizman dan Ruzaini juga menggunakan material ‘crepe’ untuk baju tersebut bagi memastikan kesemua 64 orang gadis litar itu selesa semasa berada di litar sepanjang hari dari enam pagi hingga lima petang.
Malah, kasut yang dipakai oleh gadis-gadis ini turut direka khas oleh mereka.
“Kasut adalah pelengkap gaya kepada gadis-gadis litar ini nanti. Pihak Petronas ada memberi panduan kalau hendak mereka kasut, harus bersesuaian dengan cuaca panas di litar sepang. Kita guna fiber untuk bahagian bawah dan bukannya getah”, tambah Rizman lagi.
Bukan itu sahaja, gaya setiap gadis dari hujung rambut ke hujung kaki sepanjang tiga hari berlangsungnya perlumbaan itu menjadi tanggungjawab mereka berdua.
Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila Rizman Ruzaini yang dipilih untuk mereka busana gadis litar ini. Mana tidaknya, idea yang segar serta kualiti yang baik menjadikan mereka sering mendapat kepercayaan untuk mereka busana untuk selebriti dan orang kenamaan.
Sumber: Mynewshub