Gas Meletup, Pintu Depan Restoran Tercabut



SUNGAI BULOH - Pintu hadapan sebuah restoran makanan popular pantai timur tercabut dipercayai akibat letupan gas memasak dalam kejadian di Jalan PJU 5/10, Kota Damansara dekat sini, kelmarin.

Difahamkan, kejadian itu disedari orang awam kira-kira jam 7 pagi apabila melihat pintu tercabut selain ada api pada bahagian dapur restoran tersebut.

Orang awam telah membantu memadam kebakaran. Bagaimanapun, tiada mangsa terlibat kerana ketika kejadian difahamkan restoran terbabit masih belum dibuka.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Kota Anggerik dan Damansara dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sampai di lokasi kejadian mendapati pintu hadapan restoran berkenaan tercabut akibat letupan gas.

“Pemeriksaan mendapati  kepala silinder gas petroleum cecair (LPG) pada bahagian dapur restoran itu mengalami kebocoran.

“Kebocoran gas tersebut telah memenuhi ruang restoran dan terdapat sebuah peti sejuk yang dipercayai menjadi sumber haba menyebabkan impak letupan,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut telah dijalankan bagi memastikan tiada lagi kebocoran.

Katanya, premis kemudian dibenarkan beroperasi selepas selesai pemeriksaan.

Sumber: Sinar Online