GPMS Gesa Kerajaan Ambil Tindakan Tegas Terhadap Penganjur Karnival Kerjaya


ALOR SETAR - Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zaid Nabil Zakuan menggesa kerajaan mengenakan tindakan tegas terhadap penganjur Expo Kerjaya Terbesar Zon Utara 2017, Jobsifu.com yang didakwa mengambil kesempatan terhadap graduan menganggur.

Penganjur karnival yang berlangsung selama dua hari bermula 30 September hingga 1 Oktober lalu di sebuah hotel di Alor Setar, Kedah itu telah mengenakan bayaran RM10 bagi mendapatkan borang permohonan pekerjaan sementara dan graduan turut dinasihatkan membeli sekurang-kurangnya lima set borang untuk mencerahkan peluang mendapatkan pekerjaan.

Menurut Zaid Nabil, pihaknya menerima banyak aduan dan maklum balas peserta mengenai karnival kerjaya yang merupakan karnival kerjaya terbesar zon utara dengan menawarkan lebih daripada 5,000 kekosongan jawatan.

“GPMS sangat bertegas dengan isu pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan terhadap graduan yang menganggur khususnya kepada syarikat-syarikat yang sering membuli graduan dengan mengenakan bayaran tidak setimpal dengan skop pekerjaan dan waktu bekerja.

“Kami menggesa kerajaan mengambil tindakan kepada penganjur kerana mengambil kesempatan dalam kesempitan yang dihadapi graduan yang dahagakan peluang pekerjaan. Oleh itu, tindakan tegas perlu diambil supaya perkara ini tidak berulang, Kementerian Sumber Manusia juga perlu memantau perkara ini,” katanya menerusi kenyataan semalam.


Tindakan penganjur, Jobsifu.com mengenakan bayaran bagi setiap borang permohonan pekerjaan yang perlu diisi tersebut telah mencetuskan kemarahan orang ramai yang  menyifatkan sebagai tidak masuk akal dan cuba mengambil kesempatan ke atas mereka.

Zaid Nabil berkata, GPMS turut menerima laporan daripada pengunjung yang mendakwa ruang pameran pekerjaan tidak dipenuhi dengan syarikat yang berkaitan tetapi lebih kepada jualan produk-produk kecantikan dan jualan makanan.

Selain graduan dari Kedah, graduan dari Perak , Pulau Pinang dan Perlis yang hadir terpaksa pulang dengan perasaan hampa kerana expo tersebut hanya indah khabar dari rupa.


Malah, setelah dikecam hebat netizen, facebook JobSifu.com turut ditukar nama kepada cuti-cuti Malaysia. 

“Jobsifu.com harus bertanggungjawab di atas kejadian ini. Tidak semua datang dari keluarga yang senang dan mereka membawa harapan kedua ibu bapa untuk mencari peluang pekerjaan.

“Bayangkan mereka datang dari jauh dan mungkin cukup wang untuk perbelanjaan tambang dan makan tetapi telah diperas untuk membeli borang permohonan. Graduan telah menanggung banyak kerugian dari segi kewangan, masa dan tenaga untuk hadir tetapi dipergunakan sebagai bahan untuk mengaut keuntungan. Cukup-cukuplah menganiayai graduan,” berikut adalah kata-kata yang dipetik dari Utusan Online. -Kedahnews.com