Graduan Cemas Dilarang Masuk Dewan Konvokesyen


KUALA KETIL- Gara-gara terlewat, seorang graduan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) dari Nigeria hampir terlepas menerima sarjananya apabila dilarang memasuki dewan bagi menyertai Majlis Konvokesyen kali ke-19, semalam.

Graduan Sarjana Perbankan Islam itu yang terlepas perarakan, bagaimanapun bernasib baik apabila dia akhirnya dibenarkan masuk sebelum ketibaan Sultan Kedah, Tuanku Sallehuddin Sultan Badlishah, 30 minit kemudian.

Idris Mokhtar, 31, berkata, dia tiba dari Nigeria di Kuala Lumpur tiga hari lalu dan hanya tiba di kampus Kuala Ketil pada jam 9 pagi.

"Saya sampai di Kuin dari Kuala Lumpur Jam 9 pagi tadi. Sekarang ini semuanya dah dalam dewan. Sekarang saya diminta tunggu untuk masuk ke dalam dewan. Harap -harap dapat masuk untuk terima anugerah hari ini,"katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini semalam.

Dia kemudiannya bergegas lari masuk ke dalam dewan selepas dipanggil pihak protokol konvokesyen.

Sementara itu, mengulas mengenai insiden tersebut, Pengarah Komunikasi Korporat dan Hubungan Antarabangsa, Hamlan Din berkata, perarakan graduan ke dalam dewan dijadualkan pada jam 8 pagi.

"Nasib baik Tunku Sallehuddin belum tiba, jika tidak akan merencatkan majlis kerana graduan itu membawa imej Kuin. Graduan perlu lebih disiplin dalam hal ini, perlu ikut garis panduan ditetapkan," katanya.

Sumber: Sinar Harian