Gunung Sinabung Meletus Lagi


JAKARTA - Gunung Sinabung di Sumatera Utara meletus lagi semalam dengan menghamburkan aliran piroklas dan debu volkanik ke angkasa.

Pusat Pengurusan Amaran Volkanologi dan Geologi merekodkan letusan itu pada jam 2.45 pagi (waktu tempatan) semalam.

Letusan yang berlaku selama enam minit itu tidak menjejaskan penduduk kerana ribuan orang yang tinggal berhampiran gunung itu dipindahkan sejak Sinabung aktif pada 2015.

“Tiada mangsa yang maut atau penduduk yang dipindahkan,” kata jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana, Sutopo Purwo Nugroho.

Sejak status berjaga-jaga dinaikkan ke paras tertinggi pada 2 Jun 2015, Sinabung sudah meletup banyak kali dengan kali terakhir semalam yang menghambur debu setinggi 1.5 kilometer.

Sutopo juga memberi amaran kepada penduduk dan pelancong supaya tidak mendekati zon bahaya Sinabung kerana aktiviti gunung dijangka berterusan.

Penduduk yang tinggal berhampiran sungai yang mengalir dari gunung itu turut diminta berhati-hati dengan kemungkinan banjir lava sejuk, terutama hujan lebat diramal berlaku.

Pada tahun lalu, seorang budak perempuan berusia enam tahun maut selepas banjir lava sejuk dari Sinabung melanda sebuah kampung di Karo.- Agensi