PENGANJUR Program Jelajah Semarak anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Perlis Sabtu lepas yang dihadiri tiga tokoh utama parti itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir hanya dihadiri sekitar 1,000 orang.
Namun di akhir majlis pihak penganjur mengumumkan kedatangan orang ramai ialah 4,000 hingga 5,000 orang dan kutipan derma yang diperolehi sebanyak RM1,400.
Itu antara pembohongan nyata PPBM kepada orang Perlis.
Seperti juga kehadiran pada Program Selamatkan Malaysia dan Hapuskan Kleptoraksi anjuran Pakatan Harapan di Stargate, Alor Setar sehari sebelum itu yang hadir sekitar 2,000 tetapi penganjur umumkan 6,000 hingga 7,000 orang.
Bukan sahaja pembohongan di segi kehadiran, tetapi juga ucapan yang dilontarkan oleh Dr. Mahathir lebih banyak menyajikan fakta-fakta yang tidak benar selain membuat berbagai tuduhan kepada Perdana Menteri dengan mengulangi perkara-perkara yang sama.
Bagi Dr. Mahathir, beliau yakin tuduhan-tuduhan itu walaupun tidak benar dan tidak berasas, ia lebih mudah diterima oleh rakyat terutama penduduk luar bandar yang tidak mempunyai maklumat tentang kedudukan yang sebenar.
Antara isu yang dibangkitkan termasuk pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhimatan (GST) , syarikat pelaburan 1MDB, penggunaan dana KWSP untuk melabur di Amerika Syarikat dan pelaburan China yang didakwanya untuk 'menjual' Malaysia.
Matlamat Dr. Mahathir hanya mahu jatuhkan UMNO dan Najib, jadi beliau tidak perlu bercakap agenda partinya jika menang PRU kelak kecuali mahu menghapuskan GST.
Pengerusi Pakatan Harapan juga 'tidak berani' untuk menghapuskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) walaupun beliau sebelum ini menganggap pemberian itu sebagai 'rasuah' kepada rakyat untuk pertahankan kerajaan BN.
Beliau juga tidak menyerangkan PAS dalam ucapan di Perlis dan di Kedah.
Malah, anaknya Mukhriz tidak menyebut PAS, sebaliknya menyatakan parti yang 'tidak menyokong Pakatan Harapan' di Jejawi Perlis.
Memainkan isu GST seperti rakyat semakin papa dan anak-anak sekolah kini tiada makanan, antara yang digunakan oleh Dr. Mahathir walaupun perkara itu tidak berlaku.
Perlis adalah antara negeri yang disasarkan oleh PAS pada PRU ini walaupun BN tidak pernah kecundang di negeri Indra Kayangan itu. Dalam masa yang sama Perlis juga menjadi tumpuan PPBM dan Parti Amanah Negara (PAN).
Sebelum ini Anggota Majlis Tertinggi UMNO dan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata Dr Mahathir akan melalui laluan sukar untuk menumbangkan Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun menerusi pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Najib mengetuai Barisan Nasional yang mempunyai 132 kerusi Parlimen berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diterajui Dr Mahathir hanya mempunyai seorang wakil di Dewan Rakyat. -Kedahnews.com
