"Hati Kami Bersama PAS, Tapi Sokong Pakatan Harapan"`


TIGA wakil rakyat PAS, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, ADUN Anak Bukit, Datuk  Aminuddin Hamzah dan ADUN Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustaffa diminta menjelaskan sebab-sebab kehadiran mereka pada Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (PAN) di Alor Setar semalam.

AJK PAS Pusat, Muhammad Sanusi Mohd Noor bagaimanapun berkata, tindakan mereka itu bagaimanapun sedikit pun tidak memberi kesan kepada PAS.

PAS tidak mengetahui kehadiran tiga wakil rakyat daripada parti itu pada Konvensyen Nasional 2017 Parti Amanah Negara semalam, ujar Sanusi.

"Saya minta mereka perjelaskan tentang tindakan mereka hadir pada program tersebut. Berhubung tindakan susulan terhadap mereka pula, biar peringkat pusat yang tentukan nanti," katanya.

Mahfuz,  Aminuddin, Mohd Nasir hadir pada sesi penyampaian pidato bersempena konvensyen itu oleh Presiden PAN merangkap Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Mohamad Sabu.

Mahfuz berkata beliau masih dalam PAS namun kehadirannya pada konvensyen itu hanya untuk memberikan mesej kepada PAS bahawa dirinya tidak memulau parti lain dengan boleh menyokong Pakatan Harapan.

Sementara itu, Aminuddin berkata beliau menghadirkan diri ke konvensyen itu sebagai tanda sokongan peribadinya kepada PAN dalam usaha parti berkenaan bersama Pakatan Harapan untuk memenangi pilihan raya umum.

Mohd Nasir pula berkata beliau memberikan sokongan kepada semua parti yang akan berdepan dengan Barisan Nasional (BN) pada PRU14 nanti.

"Soal peribadi tidak penting, hati saya masih bersama PAS dan saya masih berkhidmat sebagai ADUN PAS, " katanya. - Kedahnews.com