Himpunan Gagal: Anak Muda Tolak Mahathir, Pakatan Tiada Sokongan Akar Umbi - Aktivis PAS


KEGAGALAN menarik  orang ramai pada perhimpunan mega gabungan parti-parti pembangkang DAP, PKR, PAN dan PPBM  di Petaling Jaya Sabtu lalu menunjukkan Pakatan Harapan tidak mempunyai pemimpin yang berintigriti untuk menolak kleptokrasi.
.
Kehadiran Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pengikutnya  tidak disenangi orang  penentangtegarnya dahalu dan anak-anak muda.

Pengerusi LESTARI Dr Riduan Mohamad Nor menyifatkan mereka yang beradaa di pentas itu  daripada 'pasukan perampok negara' dengan pelbagai skandal kewangan semasa berada di koridor kuasa.

Rakyat yang pernah menderita di zaman demokrasi terpimpin Dr Mahathir tak mudah melupakan senarai panjang kezaliman dan salah guna kuasa, ujarnya.
.
Dr. Riduan yang menggelar diri  "mantan perusuh budiman dan demonstran tegar" dalam tulisannya pada portal rasmi PAS HarakahDaily dan Facebook beliau hari ini berkata, difahamkan kelompok radikal tidak selesa dengan keberadaan Dr Mahathir dalam hirarki kepimpinan PH.

"Hambarnya himpunan mega PH juga adalah terjemahan awal bahawa koalisi ini tidak mempunyai jentera akar umbi" ujar beliau lagi.

Menurutnya, kumpulan anak muda seperti SAMM dan lain-lain aktivis gerakan kiri agak menyepikan diri kali ini kerana mana mungkin seorang yang menggunakan pelbagai akta drakonian di zaman berkuasa kini diwirakan untuk memimpin kebangkitan rakyat menentang kerajaan yang dikatakan korup.

Ini berbeza a dengan keupayaan PAS yang berjaya mengkoordinasi ratusan NGO untuk menjayakan cita-cita perjuangan merubah negara dengan kesejahteraan Islam, kata Dr. Riduan selanjutnya.

Beliau menegaskan, jika himpunan  pada 14 Oktober lalu dihadiri sekitar lapan ribu orang dikatakan sebagai  nafiri peperangan, maka semua "jeneral"  Pakatan Harapan bolehlah bersara dan melepaskan baton kepada pelapis baru kepimpinan.

"Perjuangan menentang rasuah, ketirisan, kroni kapitalisme mestilah digalang oleh insan yang bersih daripada semua kebejatan itu. Air kencing tak mampu menyucikan najis!

Itulah hakikat 'tragedi 14 Oktober', satu himpunan yang bakal membuka pelbagai lagi kisah kocakan dalaman rumah tangga Pakatan Harapan. Semoga ada yang segera membuka mata melihat wayang separuh siap ini, " katanya lagi.

Fenomena perhimpunan seperti  itu akan berbeza jika PAS ada bersama Pakatan Harapan (dulu Pakatan Rakyat), kata dengan merujuk bukti sambutan luar biasa pada  himpunan RUU 355 dan  Himpunan Fastaqim 2.0 baru-baru ini.

Beliau mendakwa, semasa bersama  pakatan pembangkang dahulu,  80 peratus peserta himpunan terdiri  ahli PAS, manakala yang lain termasuk daripada gerakan swadaya dan masyarakat sivil yang lain.

PAS mempunyai modus operandi yang tersusun dalam mengerah ahlinya, daripada peringkat cawangan, MTD, kawasan, negeri dan Wilayah Persekutuan seterusnya di peringkat Pusat, kata Dr. Riduan.

Sementara itu, tambah beliau, pimpinan DAP yang berkuasa di Pulau Pinang tidak lagi diyakini rakyat.

"Lihat sahaja ucapan pimpinan utama DAP di pentas utama himpunan yang hanya meratib "gila" berulang kali tanpa kerangka berfikir yang mapan untuk memulihkan negara ini daripada penyalahgunaan kuasa. 

Ucapan mereka seperti  'kokok berdegar-degar tetapi ekor bergelumang tahi!" katanya lagi.

- Kedahnews.com