Hina Sultan Perak, Pelajar Tingkatan 6 Didenda RM5,000


PADAH menghina Sultan Perak dalam akaun Twitter, seorang pelajar tingkatan enam sebuah sekolah di Muar, Johor didenda RM5,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini.

Tertuduh yang berusia 18 tahun mengaku bersalah sebaik tuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Hafiza Jaafar.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan Twitter secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen bersifat jelek di laman web http://mobile.twitter.com/farhaleigh dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bandar Baru Medan Ipoh, Ipoh, kira-kira jam 10.30 malam, 13 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(A), Akta Komunikasi Multimedia 1988 (Akta 588) yang boleh dihukum mengikut seksyen sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Awatif Ahmad Bashir.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Siti Hafiza bertanyakan kepada tertuduh sama ada menghafal prinsip Rukun Negara dan memintanya membacakan prinsip berkenaan.

Sebaik tertuduh membacakan kelima-lima prinsip berkenaan, Siti Hafiza mengingatkan tertuduh supaya sentiasa menghayati prinsip berkenaan.

“Prinsip kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan, ramai masyarakat hilang tatasusila dan kamu faham apa itu maksud tatasusila?, tatasusila ialah jangan mengutuk, mengeluarkan kenyataan angkuh dan menghina supaya kita dapat hidup dalam keadaan makmur.

“Kesalahan ini boleh dipenjarakan, namun kamu masih bersekolah, hukuman setimpal tetap perlu diberikan sebagai pengajaran,” katanya.

Sumber: MyMetro