Ibu Dedah Asal Usul Beri Nama Neelofa


NAMA Neelofa, memang unik. Rasanya jarang orang Melayu yang diberikan nama sebegitu. Sesetengah pihak menyifatkan Neelofa sebagai ‘beauty with brains’ iaitu cantik dengan bijak.

Bagaimanapun ibu beliau, Datin Noor Kartini Noor Mohamed tampil mendedahkan asal usul sebenar nama anaknya itu yang kini dikenali sebagai pelakon dan pengacara cantik dalam satu wawancara khas bersama Astro Gempak.

Beliau berkata, Neelofa atau nama penunya Noor Neelofa Mohd. Noor sebenarnya diambil daripada nama seorang gadis kacukan Pakistan yang ditemuinya ketika di sebuah pasar raya di Kota Bahru, Kelantan sekitar 29 tahun lalu.

“Ketika itu saya sedang mengandungkan Neelofa, saya ke Hankyu Jaya (sebuah pusat beli-belah) bersama-sama dengan kakak saya untuk menemaninya bagi membeli produk kosmetik antarabangsa Lancome.

“Masih saya ingat gadis itu memiliki paras rupa yang sangat cantik, menyarung jubah hitam, ‘sneakers‘ (kasut getah) dan tudung bawal putih. Dia menyapa saya, katanya dia kenalan kepada saudara saya. Neelofa namanya!

“Dari situlah saya terkenan dan saya nekad untuk menamakan bayi yang saya sedang kandung ketika itu dengan nama Neelofa. Jadi, nama Neelofa dan Lancome sendiri seperti ada jodoh yang kuat,” kata beliau lagi.

Noor Kartini, 51, ditemui oleh portal berkenaan secara eksklusif selepas majlis pelantikan secara rasmi Neelofa, 28, sebagai duta berhijab pertama produk Lancome Malaysia di Shah Alam, Selangor pada Khamis minggu lalu.

Bagaimanapun ujar wanita kacukan Arab-Pakistan dan kelahiran Pasir Mas, Kelantan berkenaan, itu juga sebenarnya merupakan pertemuan kali pertama dan yang terakhir dengan gadis cantik bernama Neelofa tersebut.

“Difahamkan dia sudah berpindah ke luar negara kerana ikut suaminya,” tambah Noor yang turut mengasaskan syarikat Kartini BellaVita Health Care International Sdn Bhd bergandingan dengan anaknya, Nabila dan Neelofa.

Secara kebetulan Neelofa bukan setakat cipta sejarah selaku rakyat Malaysia pertama dilantik jadi duta Lancome, bahkan selebriti itu catat rekod duta berhijab pertama syarikat kosmetik antarabangsa itu. –Kedahnews.com