IPOH – Seorang ibu sukar melupakan kematian anaknya yang digilis lori sampah di Taman Panorama Lapangan Perdana ketika mahu ke masjid menunaikan solat Jumaat, dua minggu lalu.
Tunku Khairiyah Tunku Norizan, 36, berkata, ketika kejadian dia tidak mampu berfikir kerana terkejut melihat keadaan anaknya yang parah, malah nombor kecemasan untuk dihubungi juga tidak diingati.
Menurutnya, sebelum kejadian, Allahyarham, Putera Hariz Danish Sazmin, 10, sempat makan tengah hari dan lewat dari kebiasaan untuk bersolat Jumaat.
“Selalu dia berbasikal saja sebab tak jauh ke masjid dan saya pula akan ikut di belakangnya dengan kereta.
“Masa hari itu, dia keluar dulu dan belum sempat kereta saya mengundur, jiran jerit beritahu Hariz kemalangan,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, dia langsung meluru ke tempat kejadian yang tidak jauh dari rumahnya dan sempat bersama anaknya sehingga nafasnya berhenti.
Katanya, ketika itu, pemandu lori berkenaan bersama kelindan dan seorang pekerjanya memberitahu tidak nampak Hariz yang sedang berbasikal.
“Masa itu saya hanya fokus pada Hariz. Orang ramai yang baru selesai solat Jumaat berkumpul lihat. Saya hanya dimaklumkan pemandu itu direman tiga hari untuk siasatan,” katanya.
Bagaimanapun, Khairiyah berkata, dia bersyukur sempat menunaikan impian terakhir anak sulungnya yang mahu bersekolah agama.
Jelasnya, sebelum ini anaknya bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rapat sebelum bertukar ke Sekolah Rendah Islam Imtiyaz ketika darjah empat dan sempat bersekolah di sana selama lapan bulan.
Dia berkata, sebelum ini lori sampah jarang memasuki taman perumahan berkenaan kerana selalunya mereka menggunakan motosikal untuk mengutip sampah dan mengumpulnya di satu tempat bagi memudahkan lori mengambilnya.
“Saya harap selepas ini pekerja mengutip sampah perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang sepatutnya bagi mengelakkan kejadian ini berulang,” katanya.
Sumber: Sinar Harian