Ibu Tunggal Ketagih Dadah Sejak Berusia 13 Tahun Ditahan AADK


KANGAR - Seorang ibu tunggal berusia 22 tahun yang mula ketagihan dadah sejak berusia 13 tahun merupakan antara sembilan individu yang dicekup Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis dalam operasi rutin semalam.

Pengarah AADK Perlis, Azizah Ahmad berkata, ibu tunggal itu ditahan di sebuah rumah di Ngulang, Mata Ayer, Padang Besar dekat sini kira-kira pukul 9 pagi.

"Siasatan awal mendapati, suspek yang positif dadah syabu pernah ditahan kerana menghisap dadah sebelum dihantar ke Asrama Akhlak (Perempuan) Jitra, Kedah.

"Suspek yang berada dibawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat selama dua tahun kembali menagih dadah selepas diceraikan oleh suaminya kerana pergaulan bebas yang tidak dapat dikawal oleh bekas suaminya.

"Zuriat berusia tiga tahun dipeliharanya sementara seorang anak lain yang berusia 10 tahun diserahkan kepada ibu saudaranya untuk jagaan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Turut ditahan di lokasi sama, seorang lagi ibu tunggal berusia 40 tahun yang terjebak dengan penagihan dadah selama 10 tahun.

Sumber: Kosmo