Idris Tempelak Pemimpin DAP, 'Siapa Dia Nak Ugut-Ugut PAS?


MEREKA ugut PAS, nak ugut-ugutlah, siapa dia?” kata Naib Presiden PAS, Idris Ahmad ekoran tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menuduh PAS kini lebih  kerap  menyerang DAP daripada menyerang UMNO. 

Idris yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang itu lantas  menempelak Setiausaha Agung DAP itu kerana mendakwa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang banyak menyerang pakatan pembangkang dan DAP.

Beliau menggesa supaya Guan Eng  cerminkan diri sebelum membuat tuduhan terhadap Presiden PAS itu.

Katanya, DAP perlu mengingati kembali siapa yang memulakan serangan sehingga mencampuri urusan dalaman PAS.

“Siapa yang mulakan serangan? DAP pecah berapa banyak kumpulan pun PAS tak pernah masuk campur.

“Jangan rasa kita tak hormat dia, tahun 2001 lagi waktu arwah Tok Guru Nik Aziz ada, DAP yang tak setuju dengan dokumen negara Islam.

Guan Eng dilaporkan berkata, Hadi mula menyerang DAP sejak kedua-dua parti terputus hubungan politik pada 2015 dan Ahli Parlimen Marang itu semakin kerap mengeluarkan kenyataan berbaur permusuhan kepada partinya.

Mengulas lanjut Idris berkata, Presiden PAS kali ini bukan seorang individu yang boleh menurut segala perintah DAP seperti pemimpin pembangkang lain.

PAS dan DAP pernah menjadi sekutu gabungan pembangkang menerusi Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PKR namun hubungan kerjasama itu terputus pada 2015 selepas tidak sependapat dalam beberapa perkara terutama membabitkan perundangan Islam.

Presiden PAS baru-baru ini meminta rakyat menolak parti dan pemimpin yang mahu merungkai Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga menganggap parti dan orang tertentu yang mahu mengubah perlembagaan negara  itu sebagai pengkhianat.  - Kedahnews.com