IKEA, Okawa Kagu Perkenal Set Perabot Buat Kucing


LAZIMNYA pencinta haiwan tidak akan berfikir dua kali untuk melaburkan wang untuk haiwan peliharaan mereka, termasuklah kos perubatan, grooming dan sebagainya.

Sekarang, mereka mempunyai satu lagi saluran untuk memanjakan haiwan peliharaan mereka kerana IKEA baru sahaja memperkenalkan barisan produk perabot khas buat si comel!

Memperkenalkan katil, set sofa serta kusyen bersaiz mini, gedung perabot Scandinavia itu menjanjikan keselesaan dan reka bentuk sofistikated walaupun hanya perabot untuk haiwan peliharaan.

Trend perabot ilham daripada gaya hidup manusia itu bukan sahaja dipertaruhkan IKEA, malah ‘melarat’ sehingga ke timur apabila sebuah kumpulan kolektif seni bernama Okawa Kagu juga telah menghasilkan perabot khas untuk kucing.

Menurut laporan Metro UK, setiap rekaan yang dihasilkan kolektif seni yang berasal daripada Jepun itu meminjam reka bentuk standard yang dihasilkan untuk manusia. Jadi, sedondonlah perabot kucing dan tuannya!

Antara perabot yang diperkenalkan mereka ialah sofa mini, katil mini, meja mini dan juga almari.

Menurut portal Design Boom pula, perabot ini direka khas untuk memperkenalkan daerah Fukuoka dan bertujuan untuk mempromosikan bandar tersebut yang dikatakan mempunyai ramai pakar perabot tradisional.

Jadi, tidak hairanlah mereka mampu tampil dengan idea unik sebegini!

Tetapi, kepada yang berminat untuk menempah perabot eksklusif ini, nampaknya ada berita tidak baik untuk anda.

Buat masa ini, produk mereka hanya terdapat di Jepun sahaja. Jadi, kepada mereka melancong ke Jepun, bolehlah singgah di kedai mereka dan melihat sendiri perabot-perabot tersebut. - Kedahnews.com