Perancangan cukai sebaiknya bermula dari awal tahun agar setiap transaksi perbelanjaan yang dilakukan mendapat manfaat pengurangan cukai kita di tahun taksiran semasa. Pengetahuan tentang pelepasan cukai individu membantu merancang cukai secara sistematik.
Bagi anak-anak yang masih belajar, keperluan buku-buku latihan dan buku rujukan adalah sesuatu kemestian sebelum menghadapi peperiksaan. Sebagai ibubapa yang prihatin, kita akan sentiasa memastikan anak-anak cemerlang seiring dengan perkembangan pelajaran anak-anak di sekolah mahupun di universiti.
Kebiasaannya tekanan terhadap pelajar semakin ketara terutamanya di penghujung tahun, rata-rata penerbit buku yang popular juga akan mula menerbitkan buku latihan persediaan peperiksaan. Maka perbelanjaan terhadap buku-buku seperti ini akan mula meningkat, terutama menjelang akhir tahun atau peperiksaaan utama.
Begitu juga di penghujung tahun, rata-rata ibu bapa mula membeli buku persediaan persekolahan bagi tahun hadapan. Bagi tahun taksiran 2017, kita boleh mendapat pelepasan cukai untuk pembelian buku, majalah, jurnal dan penerbitan sehingga RM1,000.
Selain itu, selaras dengan kehendak pendidikan Malaysia yang mana memerlukan aksess internet dan keperluan komputer untuk bantuan belajar yang lebih effektif. Berdasarkan keupayaan komputer peribadi yang bersesuaian, kita boleh membeli peralatan komputer peribadi dan mendapat pelepasan cukai sehingga RM3,000. Walaubagaimanpun, pelepasan cukai terhadap pembelian komputer peribadi di berikan setiap 3 tahun.
Sebagai ibubapa yang bertanggungjawab, kesedaran menabung untuk anak-anak adalah penting. Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) sentiasa memberikan sokongan demi kemajuan pendidikan di Malaysia. Ibubapa boleh memilih untuk memulakan tabungan pendidikan anak-anak di dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dengan pelepasan sehingga RM6,000 dan juga insurans pendididikan sehingga RM3,000 setiap tahun. Kedua dua gabungan ini memberi kelebihan kepada ibubapa merancang tabungan pendidikan untuk anak yang sedang belajar bagi melunaskan harapan anak-anak ke peringkat instutusi pendidikan lanjutan yang lebih tinggi di masa hadapan.
Kesemua usaha perancangan cukai perlu dilakukan dengan memastikan semua resit perbelanjaan ke atas pembelian buku, majalah, jurnal, penerbitan, komputer peribadi dan penyata SSPN dan insurans perlu di simpan dengan cermat dan juga amalan menukarkan dalam bentuk digital (softcopy) bagi memastikan rekod ini selamat di simpan amat digalakkan.
Oleh itu, perancangan cukai individu amat digalakkan terutama bagi ibubapa yang mempunyai anak bagi membantu mendapat jumlah pelepasan cukai semaksima mungkin. LHDNM sentiasa memberi sokongan dengan tertubuhnya Hasil Care line di talian 1-800- 88- 5436 atau mana-mana pejabat LHDNM yang berhampiran untuk bantuan khidmat nasihat percukaian bagi memberi khidmat pendidikan dan kesedaran berkenaan percukaian kepada masyarakat.
Sumber: myKMU.net