ALOR SETAR- Inovisi terbaru ciptaan polis Langkawi, sistem kod bar antikecurian dilihat berjaya mengurangkan kes kecurian motosikal di kepulauan tersebut.
Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Dr Che Ghazali Che Awang berkata, sejak inovasi itu diperkenalkan Oktober tahun lalu, sebanyak 40 peratus kes kecurian motosikal dapat dikurang.
“Sehingga akhir tahun lalu, peratusan kes kecurian motosikal turun 24 peratus dan turun 15 peratus lagi setakat September lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas perbarisan bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi,semalam.
Jika semua pemilik kenderaan mengguna sistem kod bar antikecurian, pastinya kadar kecurian kenderaan akan berkurang hingga ke kadar sifar.
Hingga kini, dianggarkan lebih 2,000 pemilik mendaftarkan motosikal menggunakan sistem tersebut dan masih mengalu-alukan mereka yang belum berbuat demikian mendaftar di ibu pejabat polis daerah di Langkawi.
“Pendaftaran adalah percuma dan maklumat motosikal akan dibenam dalam kod bar yang dilekatkan pada kenderaan mereka yang boleh dicapai dengan pantas menerusi telefon pintar,” katanya.
Sementara itu, sistem itu turut mendapat perhatian Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff yang mahu sistem tersebut diguna pakai oleh polis-polis daerah lain.
“Sistem ini dibangunkan oleh kepakaran kami di sini dan membolehkan kami meraih tempat kedua pada Pertandingan Inovasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) peringkat kebangsaan tahun lepas. Kami akan mewakili PDRM dalam pertandingan peringkat Kementerian Dalam Negeri tahun ini,” katanya lagi. - Kedahnews.com