Iqram Dinzly Dikatakan Bersikap Pelik, Kurang Waras


PELAKON Iqram Dinzly tidak mahu mengambil peduli tentang pandangan orang terhadap dirinya yang dikatakan tidak waras.

Iqram atau Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 36, berkata dia hanya melakukan sesuatu perkara mengikut gerak hatinya.

Isu itu timbul apabila aksi peliknya yang sering berkongsi gambar di Instagram termasuklah swafoto bersama bapanya, Muhammad Saipuddin Ahmad Said ketika sakit serta turut berkongsi gambar di tanah perkuburan arwah bapanya sehingga mengundang pelbagai reaksi negatif.

Selain itu, timbul desas-desus pula dalam industri bahawa Iqram berperangai pelik.

Apa sebenarnya Iqram Dinzly ini? mStar mengemukakan beberapa soalan untuk mendapatkan jawapannya.

Apa Komen Iqram apabila ada segelintir pihak yang mengatakan Iqram sekarang seperti kurang waras?

Saya tak ambil peduli apa kata orang luar. Sekiranya saya gila pun, saya nak jadi ahli syurga. Orang kata saya gila... tapi bagi saya semuanya jelas. Saya buat apa yang saya rasa, itu yang dilakukan.

Apa motif Iqram berkongsi foto depan kubur arwah ayah bersama surah Yasin dengan wajah tersenyum? Nak menunjuk-nunjuk?

Tak ada niat apa-apa pun. Ia sekadar untuk peringatan dan kesedaran kepada diri sendiri dan orang luar. Tidak semestinya kita menziarahi kubur hanya datang sahaja. Dalam Islam kita tidak boleh terlalu bersedih selepas kematian seseorang.

Walaupun saya senyum tapi hati sedih tidak ada siapa yang tahu. Cuma saya kena kuat mengharungi semua yang terjadi.

Melihat entri terbaru Iqram tidak lagi mengenakan serban. Adakah tidak mahu kekalkan imej tersebut?

Serban? Saya tidak pernah mengatakannya serban. Namun saya perkenalkannya sebagai 'Iqrat Kapla' (ikat kepala). Saya tak boleh beri jawapan untuk soalan itu. Biarlah rasa dan biarlah masa yang menentukan. Apa yang saya boleh katakan, saya akan melakukan satu transfomasi dalam kehidupan. Perkara ini bukan isu yang besar.


Apa yang Iqram rasa dengan kritikan netizen kerana perbuatan Iqram sendiri?

Saya kecewa dan marah sangat-sangat dengan netizen. Terlalu ramai yang menjadi ustaz dan ustazah jadian sedangkan bila diperhatikan semula, ruangan Instagram orang yang 'jatuh hukum' ini pun tidak melambangkan sepenuhnya seorang muslim.

Kecam orang sesuka hati dan lepas itu akaun privasi. Ini namanya kulat parasit. Mereka tidak ada kesedaran dalam berbudi bahasa.

Iqram sudah lama tidak berlakon. Adakah tiada tawaran? Bagaimana pula perniagaan kedai makan di Langkawi?

Saya ada terima beberapa tawaran namun buat masa ini, saya mahu berehat tanpa memikirkan industri seni. Kedai makan di Langkawi terpaksa ditutup buat sementara waktu. Mungkin sebab orang di sana tidak dapat terima orang luar.

Sekiranya nak tahu lebih lanjut, silalah mengikuti laman Instagram @bawaabata.merebucks. Insya-Allah, di ruangan itu nanti akan bermulanya kisah saya.

Sumber: Mstar Online