Israel Tangguh Perluasan Penempatan Yahudi


BAITULMAQDIS – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bertindak menangguhkan proses undian rang undang-undang berhubung penambahan penempatan Yahudi, di sini, yang mencetuskan kontroversi.

Rang undang-undang itu dijangka menjalani proses undian pada peringkat jawatankuasa menteri hari ini, dalam usaha mempercepatkan proses kelulusan di Parlimen.

Bagaimanapun, pegawai kanan Israel yang enggan namanya disiarkan berkata, rang undang-undang itu memerlukan ‘persiapan diplomatik’, tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.

Dalam pada itu, keputusan berkenaan dilihat sebagai tanda Netanyahu mahu mengadakan perbincangan dengan Rumah Putih terlebih dahulu, sebelum ia dilaksanakan.

Ia berikutan desakan Washington supaya rundingan damai antara Israel-Palestin diadakan semula.

“Undang-undang itu perlu menjalani proses persiapan diplomatik dan atas sebab itu, ia akan ditangguhkan buat sementara,” katanya.

Rang undang-undang itu akan menyebabkan perluasan kawasan penempatan Yahudi di Tebing Barat hingga ke Baitulmaqdis dengan penambahan kawasan sempadan. 

Sumber: BH Online