Isteri Tony Pramugari AirAsia?


KUALA LUMPUR – Sikap terlalu berahsia pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes menyebabkan identiti isteri baharunya, Chloe masih belum diketahui dan menjadi tanda tanya pelbagai pihak sehingga ke hari ini.

Fernandes bukan sahaja mengambil pendirian untuk berdiam diri demi menjaga privasi, malah, langsung tidak memuat naik status berkaitan perkahwinannya dalam mana-mana akaun media sosialnya.

Hal itu menyebabkan ba­nyak portal dan keyboard warrior (wira papan kekunci) mula mencari identiti sebenar Chloe sehingga ada yang membuat pelbagai spekulasi berhubung wanita berusia 20-an itu.

Ada yang mendakwa Chloe merupakan seorang pelakon terkenal Korea Selatan berusia awal 30-an, malah, ada juga yang mendakwa wanita itu adalah seorang pramugari yang berkhidmat di syarikat yang sama dengan Fernandes.

Sumber portal hangat.com mendedahkan Chloe berkemungkinan merupakan seorang pramugari AirAsia dengan pendedahan beberapa keping gambar seorang wanita yang dikatakan mirip isteri Fernandes itu.

Portal berkenaan memuat naik lima keping gambar yang didakwa Chloe yang memakai pakaian seragam syarikat penerbangan tersebut.

“hangat.com dapat menemui beberapa gambar di mana Chloe memakai pakaian seragam krew penerbangan AirAsia. Gambar­nya terlihat dalam senarai jenis portfolio fotografi yang disediakan oleh sebuah studio penggambaran di Korea. Namun, tidak dapat disahkan sama ada benar atau tidak itu adalah Chloe yang juga seorang kakitangan Air­Asia,” menurut portal itu.

Bagaimanapun, selepas berdiam diri selama beberapa hari selepas berkahwin, Fernandes akhirnya tampil dengan kenya­taan di Twitter semalam apabila memuat naik status yang mempertahankan kejadian penerbangan AirAsia QZ535 dari Perth ke Denpasar yang terpaksa berpatah balik dan membuat pendaratan cemas, Ahad lalu.

Sumber: Utusan Online