Isu Melecur "Mandi" Tomyam Panas: Netizen Salahkan Ibu Bapa


SHAH ALAM - Susulan insiden kejadian kanak-kanak terkena sup tomyam panas hingga menyebabkan tengkuknya melecur, menarik perhatian netizen.

Bapa mangsa yang mahu dikenali sebagai Ahmad,39, mahu membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan dan dia juga akan berhubung dengan pihak peguam bagi mendapatkan nasihat guaman mengenai insiden yang menimpa anaknya, Nur Qisya Darwisyah, 5.

Bagaimanapun, ada saksi yang mengatakan mangsa tertepis pekerja restoran tersebut hingga membawa kepada insiden itu.

Pengurus Restoran Sara Thai cawangan Balok tersebut, Mohd Zanafi Wahab, 39, sudah memohon maaf dan mendakwa pihaknya kesal dengan insiden yang menyebabkan belakang badan kanak-kanak perempuan itu melecur akibat tumpahan sup tomyam itu.

Dalam pada itu, para netizen berpendapat bahawa perkara tersebut masih boleh dibawa berbincang dan tidak perlu dibawa ke mahkamah.

Mereka berpendapat sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memantau anak-anak yang masih kecil.

"Budak umur itu tengah lasak, sepatutnya ibu bapa perlu lebih peka, kalau di restoran lagilah banyak barang panas.

"Sebab itu kena selalu pantau, suruh anak duduk. Bila dah jadi macam ni adalah kecuaian siapa?" soal pengguna Facebook Feetre Iskandar.

Turut menyokongnya pengguna Facebook, Nik yang berasakan ibu bapa seharusnya lebih peka mengawasi anak-anak ketika di tempat awam.

"Faktor kecuaian, nak-nak ibu bapa. Bawa mana-mana kedai makan pun, anak-anak aktif tidak diawasi dan asyik membelek telefon pintar di tangan, bila dah kena baru nak menyesal.

"Kedai makan bukan tempat bermain, kawal anak tu. Pekerja restoran bukan bawa makanan yang sejuk, semoga kemalangan macam ini tidak berlaku di mana-mana," tulisnya.

Bagi pengguna Facebook, Nora Amita pula, dia berpendapat bahawa perkara tersebut boleh dibawa berbincang antara kedua-dua pihak.

"Boleh buat berbincang sedara damai, sebab kemalangan ini tidak disengajakan. Kenapa perlu pihak ketiga?

"Semua itu hanya akan memakan diri sendiri sahaja," tulisnya pula.

Turut menyokong merupakan pengguna Facebook Eja Shariza.

"Takkan lah pelayan itu sengaja nak jirus sup tomyam ke budak itu kan sampai bapa mangsa nak minta khdimat peguam bagai.

"Melecur itu nampak teruk, sekurangnya pergilah bincang dengan pihak restoran, kalau mereka tidak melayan barulah ambil tindakan lain, mungkin ada perkara yang tidak dilihat, sebab si bapa pun di kaunter kan?" tulisnya.

Sementara itu, pengguna Facebook Radzi Othman berasakan insiden yang berlaku ini berpunca daripada kecuaian kedua-dua belah pihak.

"Cuai tetap ada di kedua-dua pihak, pekerja restoran kerana faktor nak cepat sebab pelanggan ramai dan sebagainya manakala kecuaian pelanggan mungkin sebab lain yang dikomenkan.

"Ini hanyalah pendapat kasar sahaja, tapi dilihat pemilik restoran benar-benar kesal dengan kejadian ini dan cuba untuk membantu, cubalah ambil jalan tengah.

"Bagaimanapun, jika pelanggan itu ingin saman, itu hak dia. Menang atau tidak itu terpulang pada mahkamah," tulisnya.

Sumber: Sinar Harian