Isu Perarakan Selesai Dengan Baik


GEORGETOWN - Isu perarakan dan pukulan gendang dilakukan sempena pesta tanglung di hadapan sebuah masjid di negeri ini telah diselesaikan dengan baik dalam suasana muhibah.

Exco Agama, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, pihak penganjur mengakui terlepas pandang mengenai kejadian itu dan segera memohon maaf kepada pengurusan masjid akibat insiden yang tidak disengajakan itu.

Menurutnya, satu pertemuan telah dilakukan pihak penganjur dengan pengurusan Masjid Maqbul, Sungai Pinang, baru-baru ini dan berjanji perkara seumpama itu tidak akan berulang selepas ini.

“Keadaan itu berlaku bila kumpulan perarakan terlibat dengan kesesakan jalan raya dan tidak menghentikan paluan gendang ketika berada di hadapan masjid berkenaan.

“Mereka mengakui amat menyesali kejadian itu dan harap tidak dipanjangkan selepas permohonan maaf dilakukan kepada pihak pengurusan masjid,” katanya ketika ditemui media di sini, semalam.

Abdul Malik berkata, kerajaan negeri menyarankan pihak polis memberi penerangan dan syarat-syarat kepada pihak penganjur sebelum mengeluarkan sebarang permit serta kebenaran untuk mengadakan perarakan.

Katanya, penerangan itu perlu supaya pihak penganjur lebih peka dengan perkara sensitif, sekali gus memastikan kelancaran program tanpa menimbulkan rasa tidak selesa kepada pihak lain.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Ketua Menteri, Zaidi Ahmad berkata, isu berkenaan dianggap selesai dan diharap tiada mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan dengan memperbesarnya sehingga menjadi isu agama atau perkauman demi kepentingan politik sempit mereka.

Tambahnya, rakyat Pulau Pinang yang berbilang kaum dan agama sikap saling hormat menghormati serta bertolak ansur yang menyebabkan negeri ini aman damai sejak sekian lama.

“Kepada mana-mana pihak yang cuba ambil kesempatan dengan mengapi-apikan perkara kecil yang sudah selesai demi kepentingan politik sempit dan perkauman, kami tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis terhadap mereka yang cuba mencetuskan ketegangan kaum serta agama,” katanya.

Sumber: Sinar Online