Jakim Tunggu Perkenan Menghadap Sultan Johor


KOTA KINABALU - Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang menunggu maklum balas daripada pihak istana untuk menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Permohonan itu dihantar berikutan larangan baginda yang menghalang Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri itu daripada berurusan dengan Jakim selepas seorang pegawai kader Jakim dipercayai secara hasutan mengkritik titah baginda.

Menterinya, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, permohonan menghadap Tuanku telah dihantar dan kini menanti perkenan daripada baginda.

"Kita sudah menghantar permohonan dan masih menanti perkenan untuk menghadap baginda" katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie Malaysia anjuran bersama Jakim dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah di sini.

Bagaimanapun, Jamil Khir enggan mengulas lanjut mengenai inti pati yang akan dibincangkan bersama Tuanku.

"Sesungguhnya kita menyanjung tinggi titah dan teguran daripada Tuanku," jelasnya.

Sumber – Kosmo