"KALAU dalam masjid pun ada syaitan, maka jangan ingat dalam PAS ini semuanya malaikat," kata Dr Azman Ibrahim, seorang ahli jawatankuasa PAS Pusat memetik ungkapan bekas Setiasusaha Agung PAS, Allahyarham Ustaz Hasan Shukri.
Kata Azman, ungkapan itu pernah dilontarkan Hasan yang juga bekas Timbalan Presiden PAS kepada Pengerusi Lembaga Disiplin PAS, Dr. Daeng Sanusi Mariok.
Oleh itu, kata Dr. Azman, PAS bukanlah sebuah parti yang sempurna dari segenap segi.
"Ada ketikanya PAS bertindak sebagai hospital yang menerima kemasukan pelbagai ragam pesakit. Ada yang sedia untuk dirawat lalu pulih.
"Ada yang keras kepala melawan nasihat doktor dan akhirnya lari daripada hospital. Maka mereka ini tak berjaya diubati. Tapi ini bukan salah hospital," kata Dr. Azman yang dipetik daripada Harakahdaily, semalam.
Bagaimanapun menurut Dr. Azman, mereka yang engkar arahan makan ubat lalu bertindak lari dari hospital ini tak ramai dan adalah beberapa belas orang.
"Tapi biasalah bagi media. Beribu pesakit yang pulih tak dilaporkan. Ada seorang dua yang terjun lari dari hospital, itulah yang menjadi berita sensasi, ujarnya merujuk laporan beberapa ahli PAS yang lari meninggalkan parti dan menyertai parti lain.
Dr. Azman hairan kenapa media tidak jadikan berita sensasi apabila mesyuarat bulanan PAS Pusat meluluskan permohonan lebih dua ribu ahli baru setiap bulan.
"Bagaimanapun yang diisytihar keluar parti beberapa belas orang dalam masa empat tahun, itulah dia kononnya 'berita panas," katanya merujuk ahli PAS DUN Tendung, Kelantan yang menyertai UMNO baru-baru ini.
Media rasmi PAS dan parti propembangkang lain juga tidak terkecuali menyiarkan dan mengulangi 'berita panas' yang memburukan lawannya dan boleh 'menguntungkan' kepada partinya.
Malah tindakan pemimpin PAS beramai-ramai meninggalkan parti dan menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN) juga merupakan kategori berita yang panas sepanjang tahun dan terus panas hingga PRU akan datang .- Kedahnews.com