Jangan Jadikan GST Alasan Naikkan Harga Makanan - CAPS


KOTA KINABALU - Pertubuhan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS) meminta para peniaga di Sabah agar tidak mengaitkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan harga makanan yang kian meningkat serta menjadikan cukai itu sebagai alasan untuk menaikkan harga jualan makanan mereka.

Presiden CAPS James Bagah berkata alasan peniaga menjadikan GST untuk meningkatkan harga jualan makanan mereka adalah tidak relevan kerana bahan-bahan asas seperti beras, tepung, gula, ikan, sayuran dan lain-lain dikecualikan daripada cukai itu.

"Isu kenaikan harga makanan ini adalah isu ketamakan peniaga itu sendiri dan ianya tiada kena-mengena dengan GST. CAPS sering kali menerima aduan yang mana harga makanan di negeri ini terlalu mahal dan tidak berbaloi dengan jenis makanan yang diperoleh.

"Kita memohon pihak kerajaan agar memantau peniaga-peniaga tidak bertanggungjawab ini yang menaikkan harga makanan sesuka hati serta membatalkan lesen mereka seterusnya mengenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini pada Rabu.

Menurut James sikap para peniaga yang keterlaluan dalam mengaut keuntungan perlu ditangani secara serius dan kerajaan perlu bertegas untuk memastikan para peniaga ini tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga makanan untuk kebaikan semua pihak.

Dalam pada itu, James juga meminta warga pengguna supaya sama-sama memainkan peranan dengan melaporkan mana-mana peniaga atau premis yang mengenakan harga makanan atau barangan yang tidak berpatutan kepada pihak berwajib seterusnya memboikot peniaga atau premis tersebut.

"Tindakan memboikot adalah tindakan alternatif terbaik untuk memberi amaran dan pengajaran kepada peniaga yang tidak prihatin dengan beban pengguna yang terpaksa menanggung kos sara hidup tinggi.

"Kenaikan harga barangan yang semakin tidak terkawal ini amat membebankan pengguna dan ianya sangat dirasai oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana," tegasnya.

Mengenai Bajet 2018 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak esok, James mengharapkan agar ia bajet 'mesra pengguna' dengan mengambil kira bebanan hidup rakyat yang terpaksa bergelut dengan kenaikan harga barangan untuk kelangsungan hidup.

"CAPS yakin bajet ini akan memberi penekanan kepada penurunan kos sara hidup rakyat di samping harapan supaya kadar GST dapat diturunkan kepada sekurang-kurangnya tiga peratus," katanya.- BERNAMA